Lagi insiden melibatkan pesawat Lion Air. Pada malam Rabu yang lalu, sebuah penerbangan pesawat Lion Air, JT 633 yang akan berlepas dari Bengkulu ke Jakarta dilaporkan terpaksa dibatalkan selepas ia terlanggar tiang lampu koordinat ketika mahu berlepas.
Terdahulu, sebuah pesawat Lion Air, JT610 terhempas selepas beberapa minit berlepas dan telah mengorbankan 181 penumpang dan lapan anak kapal.

Jurucakap syarikat penerbangan itu berkata ekoran kemalangan tersebut, sayap kiri pesawat terbabit mengalami kesan lekuk. Justeru, atas faktor keselamatan, penerbangan tersebut terpaksa dibatalkan.
Difahamkan kejadian berlaku sewaktu pesawat sedang menuju keluar di landasan terbabit.

Semua penumpang telah diarahkan kembali ke ruang menunggu di Terminal Lapangan Terbang Fatmawati Soekarno. Syarikat penerbangan juga dikatakan akan menggantikan pesawat lain bagi membawa 143 penumpang ke Jakarta.
Siasatan awal mengenai punca kejadian itu dijangka diketahui hujung bulan ini.