Sebut sahaja alat permainan, pastinya kita semua terbayang saat-saat kita menjadi kanak-kanak dan bebas berimaginasi serta bergembira tanpa memikirkan sebarang masalah. Tahukah anda bahawa sesetengah alat permainan di dunia ini wujud dengan harga yang langsung tidak masuk akal? Berikut kami kongsikan alat permainan paling mahal di dunia:
Astolat Dollhouse Castle (RM35 juta)
Rumah mainan ini merupakan sebuah karya agung artis terkenal dari Colorado yang bernama Elaine Diehl. Model rumah ini dijual dengan harga yang sangat mahal kerana binaan arca dan bentuknya yang sangat kompleks dan teliti daripada segi kejuruteraan, nilai arkiteknya dan juga kesenian.
Rumah mainan ini dikatakan mempunyai binaan yang teliti kerana di dalamnya juga terdapat perabot serta bilik-bilik yang mirip seperti rumah di dunia realiti.
Jika kita lihat daripada segi ketelitian rumah mainan ini, ia turut dilengkapi dengan sebuah ruang bar dan juga dapat dilihat beberapa minuman serta cawan yang nampak seperti betul. Setiap perkara yang ada di dalam rumah ini semuanya dibuat dengan teliti dan ia mengambil masa yang sangat lama.
Untuk pengetahuan anda semua, rumah mainan ini mengambil masa sekitar 13 tahun untuk disiapkan dan ia dikatakan mempunyai berat sekitar 430 kilogram. Selain itu, rumah ini juga mempunyai ketinggian sekitar 2.7 meter.
Walaupun pada hakikatnya mainan ini bukanlah sesuatu yang mampu dimiliki oleh semua orang, kita harus menghargai keunikannya.
Penulis
- Muhammad Nurhakim Mohd Jaffri adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.