Belum pun reda kemarahan netizen dengan kes arwah Adam Raykal yang disumbat dalam peti ais Julai lalu, sekali lagi kes dera bayi berlaku apabila Muhammad Afif yang berusia dua tahun enam bulan maut akibat disumbat cili gara-gara tidak berhenti menangis.

Tertuduh, Asmarani, 39 mengaku bersalah memasukkan sebiji cili berwarna hijau ke dalam mulut mangsa sehingga menyebabkan kematian mangsa di sebuah rumah di Sungai Gadut, di antara pukul 9.30 pagi hingga 10 pagi, 13 Jun lalu.
Menurut Utusan, Hakim Datuk Abu Bakar Jais menjatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan terhadap tertuduh selepas beliau mengaku bersalah. Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, Datuk Hanif Hassan memohon hukuman yang ringan atas alasan anak guamnya telah menjaga mangsa sejak berusia lima bulan dan sepanjag tempoh penjagaan sebelumnya, tiada masalah berlaku antara tertuduh dan keluarga mangsa.

Walau bagaimanapun, pihak pendakwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang lebih berat antara 10 tahun hingga 15 tahun penjara terhadap tertuduh kerana menyifatkan bahawa kesalahan yang dilakukan amat serius selain hukuman tersebut memberikan pengajaran buat masyarakat yang ingin melakukan perbuatan yang sama.
Ibu mangsa Rahmawati berkata kegembiraan mereka direnggut serta-merta akibat perbuatan pengasuh tersebut. Beliau juga menambah bahawa anaknya mati akibat didera dan bukan kerana kecuaian pengasuh.
Disamping itu, netizen juga menyuarakan rasa tidak puas hati di laman sosial terhadap hukuman tersebut yang disifatkan sebagai ‘terlalu ringan’dan merasakan bahawa tertuduh layak diberikan hukuman lebih berat.
Sumber: Says