Lagi Kes ‘Culik’ Haiwan, Lembu Malang Ini Dipaksa Naik Kancil

Cubaan dua orang lelaki melarikan seekor lembu betina dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kancil gagal apabila seorang daripada mereka ditahan penduduk. Kejadian ini dilaporkan berlaku di di Kampung Bechah Terap, Kota Bharu, Kelantan.

Memetik laporan Harian Metro, insiden ‘culik’ itu disedari sekitar jam 5 pagi selepas rakan kepada pemilik haiwan berkenaan mendapati lembu yang ditambat di tepi tali air di kampung itu hilang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu iaitu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, siasatan awal mendapati bahawa penduduk kampung mendakwa melihat sebuah Perodua Kancil dipandu dalam keadaan mencurigakan dengan membawa bersama seekor lembu.

“Tidak lama selepas itu, pemilik lembu berkenaan dan beberapa orang penduduk kampung terserempak dengan kereta dinaiki kedua-dua suspek sebelum menahan kenderaan terbabit di tepi jalan Kampung Padang Bemban,” kata Abdul Rahim dalam satu kenyataan.

“Walau bagaimanapun, kedua-dua suspek bergegas melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.”

“Pemeriksaan penduduk kampung membawa kepada penemuan seekor lembu dalam kenderaan terbabit,” katanya lagi.

Tambah Abdul Rahim, pemilik dan penduduk kampung cuba mengesan kedua-dua ‘penculik’ berkenaan di sekitar kampung sebelum menemui seorang daripada suspek pada jam 10 pagi.

Portal Berita Harian melaporkan lelaki berusia 43 tahun itu ditahan selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan di Kampung Panjang.

“Penduduk kampung kemudian menghubungi pihak polis dan menyerahkan suspek bersama kenderaan dinaiki serta lembu yang cuba dicuri.”

“Bagaimanapun, seorang daripada suspek dapat melarikan diri,” katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, kami pernah kongsikan kes yang hampir sama di mana empat orang lelaki cuba untuk membawa lari lembu menaiki kereta Honda Civic. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk membaca artikel penuh:

Artikel Lain Untuk Di Baca