Legenda Sumpahan Mahsuri

Pulau Langkawi adalah salah satu pulau yang ada di negeri Kedah. Langkawi bukan sahaja mempunyai pantai dan pulau yang menarik, namun ia juga mempunyai pelbagai kisah lagenda yang menarik seperti Sumpahan Mahsuri.

Dipercayai berlaku sewaktu pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah 111(1778-1797) dan Sultan Ziyauddin Mukarram Shah 11 ibni al-Mahrum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azlin Muadzam Shah (1797-1803), Sumpahan Mahsuri mempunyai beberapa versi yang tersendiri.  

Kelahiran Mahsuri

Bapa Mahsuri bernama Pandak Mayah berasal dari Indonesia dan ibunya bernama Endak Alang atau Mak Yah yang berketurunan Cina. Pandak Mayah dan isterinya berhijrah ke Tongka di Selatan Thailand kemudian berpindah ke Langkapuri iaitu nama lama Langkawi.

Pasangan tersebut sudah lama berkahwin tetapi masih tidak mempunyai zuriat. Suatu hari, Pandak Mayah menemui kerak nasi yang mengeluarkan bunyi seakan-akan bayi menangis ketika berehat di pondok setelah mengerjakan sawah.

Pandak Mayah kemudiannya membawa kerak nasi ajaib itu pulang ke rumah dan mencampurkannya bersama nasi yang ditanak. Tidak lama selepas itu, isterinya hamil.

Ketika Mahsuri lahir, rezeki keluarga tersebut semakin bertambah. Ditambah lagi apabila Pandak Mayah menemui lubuk batu kemenyan dan sarang burung layang-layang dan kemudian dijual kepada pedagang Cina dari Pulau Pinang. Mulai dari situ kehidupan mereka berubah dan bapa Mahsuri digelar sebagai Orang Kaya Pandak Mayah.

Namun, ada juga kisah yang menyatakan bahawa Pandak Mayah menemui Ular Cinta Mani atau Ular Itik kemudian menangkapnya dan memakannya. Mengikut kepercayan orang dahulu, reptilia tersebut boleh memberi tuah dan kekayaan kepada sesiapa yang terlihat dan memakannya.

Perjalanan hidup Mahsuri

Mahsuri dibesarkan dengan didikan nilai melayu dan agama yang cukup. Selain mempunyai kecantikan yang tiada tandingan, Mahsuri juga mahir bersilat. Sifat-sifat tersebut menyebabkan Mahsuri diminati kaum lelaki dan dicemburui wanita-wanita di Pulau Langkawi.

Salah seorang daripada kaum lelaki yang menaruh hati pada Mahsuri adalah Penghulu Langkawi, Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya. Meskipun sudah beristeri, Datuk Pekerma berniat untuk menjadikan Mahsuri sebagai isteri keduanya. Hal terbabit walau bagaimanapun, tidak diterima sama sekali oleh isteri pertamanya.

Disebabkan itu, Datuk Pekerma terpaksa membatalkan niatnya bagi menyelamatkan rumah tangganya. Penghulu Langkawi terbabit akhirnya merestui niat anak lelakinya, Wan Darus yang mahu menikahi Mahsuri.

Majlis perkahwinan Mahsuri dan Wan Darus berlangsung dengan meriah sekali. Menurut kisah orang terdahulu, ramai wanita dan kaum lelaki kecewa dengan berita terbabit susulan Mahsuri dan Wan Darus masing-masing diminati ramai.

Walau bagaimanapun, kebahagiaan pasangan mempelai ini tidak bertahan lama apabila Wan Darus dipanggil untuk membantu mempertahankan negeri Kedah dari serangan Siam. Mahsuri yang pada ketika itu sudah hamil, terpaksa melepaskan suaminya pergi dan berpindah ke rumah ibu bapanya.

Tidak lama selepas itu, Mahsuri selamat melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Wan Hakim.

Mahsuri difitnah

Suatu hari, seorang pendatang bernama Deramang berlabuh di pantai Langkawi. Deramang diambil bekerja  oleh Pandak Mayah untuk membantunya bertani.

Selain rajin dan tekun, Deramang juga mempunyai bakat istimewa iaitu berdendang dan bersyair. Jadi, ramai penduduk kampung berkumpul di rumah Pandak Mayah untuk mendengar dendangan dan syair yang disampaikan hampir setiap malam. Sekali lagi, keluarga Pandak Mayah menjadi tumpuan warga Langkawi.

Namun begitu, tidak semua warga kampung menyenangi perhatian yang diterima keluarga Pandak Mayah. Isteri Datuk Pekerma yang dikenali sebagai Wan Mahora sememangnya sudah lama membenci Mahsuri bertambah jelek apabila mendengar nama keluarganya disebut-sebut.

Merasakan kedudukannya sebagai isteri pembesar mula tergugat, Wan Mahora yang dengki mula menghasut suaminya, Datuk Pekerma untuk memerhatikan keakraban Mahsuri dan Deramang.

Akibat termakan hasutan si isteri, Datuk Pekerma bertindak memerintahkan orang suruhannya untuk menangkap Mahsuri dan Deramang ketika lelaki itu ke rumah Mahsuri untuk menjaga anaknya. Deramang yang melarikan diri di menemui ajalnya di Batu Asah dan Mahsuri pula diseret ke Balai Adat di Padang Mat Sirat.

Apabila mendengarkan perkhabaran tersebut, Pandak Mayah dan Endak Alang terperanjat besar. Bagi menyelamatkan nyawa puteri tunggalnya, pasangan itu menawarkan segala harta mereka namun, ia ditolak mentah-mentah oleh Datuk Pekerma.

Di Balai Adat, Mahsuri diikat di sebatang pokok. Ramai penduduk kampung datang menyaksikan perkara tersebut kerana mereka terkejut dengan tuduhan yang dilemparkan ke atas Mahsuri.

Gara-gara fitnah terbabit, Mahsuri dijatuhkan hukuman bunuh. Namun begitu, keris yang digunakan untuk mengambil nyawa Mahsuri gagal menembusi badannya. Wan Mahora yang berada di tempat kejadian menjadi cemas kerana ia membuktikan Mahsuri tidak bersalah.

Walau bagaimanapun, wanita itu terus diseksa sehingga tidak bermaya. Akhirnya, Mahsuri mendedahkan rahsia bahawa nyawanya hanya boleh diambil dengan menggunakan tombak pusaka milik keluarganya.

Usai mendapatkan tombak pusaka yang diperkatakan, Datuk Pekerma terus menikam Mahsuri sehingga menembusi rusuk dan dada kirinya. Dalam keadaan lemah, Mahsuri sempat menyumpah warga Langkawi.

Aku redha matiku jika benar aku bersalah. Tetapi jika aku dianiaya, aku haramkan darahku mengalir ke bumi. Aku sumpah, bumi Langkawi tidak akan aman dan menjadi padang jarak padang terkukur selama tujuh keturunan!”

Kemudian, sesuatu yang pelik berlaku apabila darah yang keluar daripada tubuh Mahsuri bukan berwarna merah tetapi putih. Menurut lagenda, cecair tersebut tidak menitik ke tanah dan terapung seperti awan sebelum hilang di udara.

Pengakhiran Langkawi

Tidak lama selepas itu Wan Darus pun pulang ke Langkawi selepas kekalahan tentera Kedah di Kuala Muda. Namun, beliau sedih setelah menerima berita kematian Mahsuri.

Dengan penuh dukacita, Wan Darus dan anaknya bersama ibu bapa Mahsuri meninggalkan Langkawi untuk selamanya.

Menurut legenda, Langkawi mengalami kemusnahan yang teruk setelah genap tujuh hari kematian Mahsuri. Tentera Siam berjaya menguasai seluruh Kedah dan ramai penduduk dibunuh.

Datuk Pekerma juga menemui ajalnya di tangan tentera Siam dan mayatnya dikatakan dibuang ke Sungai Langkanah. Manakala isterinya, Wan Mahora pula dikatakan dirogol dan dijadikan hamba tentera Siam sebelum dibunuh.

Penulis

  • Nur Akhtasha Binti Ismail adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Untuk membaca artikel lain berkaitan lagenda, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca