Label ‘Pork Free’ Tanda Restoran Selamat Untuk Dikunjungi? Ini Penjelasan Daripada Pihak JAKIM

Baru-baru ini kecoh tentang status halal bagi perusahaan restoran-restoran yang terdapat di Malaysia dalam kalangan warganet. Lebih-lebih lagi berkaitan isu penggunaan kata Pork Free yang sering terpapar di setiap permukaan pintu premis perniagaan.

Penggunaan kata Pork Free sudah jelas memberi maksud bahawa makanan yang disediakan oleh premis perniagaan tersebut bebas daripada bahan berasaskan daging babi.

Namun, baru-baru ini tular suatu isu yang menyatakan bahawa pelabelan kata tersebut tidak semestinya menjamin makanan yang disediakan adalah halal. Hal ini bukan sahaja berkaitan dengan bahan atau daging yang digunakan, malah merangkumi cara masakan sama ada mematuhi syariat Islam atau tidak.

Isu sebegini timbul apabila terdapat golongan anak muda dan dewasa yang masih berani memilih tempat makan yang menggunakan pelabelan Pork Free. Bukan mahu melarang aktiviti mereka, namun sudah menjadi kebiasaan mereka untuk mencuba sesuatu makanan yang tular di media sosial tanpa mengambil tahu akan status produk tersebut.

Bertitik tolak daripada itu, ramai pengguna beragama Islam mula mempertikaikan status sesuatu produk yang tidak mempunyai logo halal atau kelulusan dari pihak Jakim.

Menurut laporan Harian Metro, pengguna yang beragama Islam haruslah bijak menilai isu halal ini secara menyeluruh yakni merangkumi pelbagai sudut dan bukan hanya berdasarkan penggunaan label semata-mata.

Berdasarkan kenyataan jurucakap Jabatan Kemajuan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), isu pemilik restoran yang menggunakan tanda serve no pork atau tiada sajian khinzir sebenarnya boleh mengelirukan masyarakat Islam tetapi bukan bidang kuasa pihaknya untuk mengambil tindakan.

Oleh yang demikian, untuk mengelakkan diri daripada dilanda rasa was-was, pengguna dinasihatkan agar membeli makanan daripada premis yang memperoleh pensijilan halal sah daripada JAKIM sahaja.

Penulis

  • Nor Amylia Syazwanie Binti Hamdani adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca