“Kuranglah Pesaing Saya”, Wanita Ini Dedah Tidak Kisah Berkahwin Dengan Pembunuh Bersiri

Pada tahun 2005, sekumpulan kanak-kanak yang sedang menghadiri majlis pengebumian rakannya dikejutkan dengan kehadiran lelaki yang bertanggungjawab terhadap kematian teman mereka.

Tidak lama selepas itu, suspek, Serhiy Tkach yakni seorang pembunuh bersiri yang bertanggungjawab membunuh lebih 35 orang wanita dan kanak-kanak di Ukraine sekitar tahun 1980 dan 2005 berjaya diberkas oleh pihak polis.

Meskipun penangkapan terbabit menandakan pengakhiran kisah Serhiy, perkahwinannya dengan seorang gadis yang berusia lingkungan mangsa-mangsanya membuka lembaran baharu di dalam kehidupan penjenayah ini.

Latar belakang

Dilahirkan pada 12 September 1952 di Kiselyovsk, tidak banyak yang diketahui mengenai latar belakang Serhiy Tkach. Menurut sumber, lelaki ini pernah berkahwin beberapa kali namun kesemuanya berakhir dengan penceraian ekoran masalah penderaan dan ketagihan alkohol yang dialaminya. Selain itu, Serhiy juga pernah berkhidmat sebagai seorang anggota polis yang bertanggungjawab terhadap hal-hal forensik.

Namun begitu, Serhiy telah dibuang kerja pada tahun 1979 ekoran cubaan memalsukan bahan bukti. Lelaki itu kemudiannya berhijrah ke Ukraine tiga tahun kemudian dan sekali lagi memilih untuk berkhidmat sebagai seorang pegawai polis.

Pada ketika inilah Serhiy mula giat menjalankan aktiviti jenayahnya.

Sehingga kini, Serhiy Tkach tidak memberikan kata putus mengenai motif jenayahnya. Apabila dia ditemu ramah oleh media, lelaki berkenaan akan memberikan pelbagai jawapan berbeza seperti dia membunuh kerana terinspirasi daripada penolakan seorang wanita dan kerana Serhiy mahu menandingi pembunuh bersiri lain.

Pembunuhan

Berbekalkan pengetahuan sebagai seorang anggota polis, Serhiy berjaya mengelak daripada ditahan polis dan bebas melakukan jenayahnya selama lebih 20 tahun.

Modus operandi Serhiy tidak banyak berubah semenjak pertama kali dia melakukan pembunuhan. Mangsa kebiasaannya dipilih secara rawak dan akan diumpan pergi demi mengelakkan saksi. Setelah itu, mereka akan dirogol sebelum dicekik sehingga mati. Selain itu, Serhiy turut mengaku akan memperkosa mangsanya saat nyawa mereka sudah terpisah dari badan.

Antara tahun 1980 sehingga 2005, rata-rata kaum wanita yang menjadi mangsa Serhiy adalah mereka yang berada dalam lingkungan umur lapan sehingga 18 tahun. Disebabkan selatan Ukraine masih berada di bawah naungan Soviet pada masa itu, tidak banyak informasi yang dapat dikongsikan kepada umum mengenai jenayah yang dilakukan Serhiy.

Oleh kerana polis kekurangan bukti, lelaki-lelaki yang tinggal berdekatan dengan kawasan mayat mangsa Serhiy ditemui akan dituduh melakukan pembunuhan tersebut. Hal ini menyebabkan kehidupan mereka yang dituduh secara salah musnah berantakan.

Penangkapan dan perkahwinan

Serhiy Tkach akhirnya ditahan setelah dia hadir ke majlis pengebumian salah seorang mangsanya pada tahun 2005. Berita penangkapannya segera menjadi sensasi dan wajah lelaki berkenaan menghiasi setiap media di dalam dan luar negara.

Akhirnya, Serhiy Tkach disabitkan kesalahan atas 37 pembunuhan sekaligus menyebabkan lelaki itu dihukum penjara seumur hidup di Ukraine pada tahun 2008.

Meskipun portal berita di negara tersebut memaparkan jenayah kejam yang dilakukan Serhiy secara terperinci, seorang wanita mendakwa dia langsung tidak gentar apabila menyaksikan kisah jenayah lelaki berkenaan. Malah, dia juga dilaporkan sudah jatuh cinta dengan penjenayah bersiri terbabit.

Elene Tkach, 16, mula tertarik dengan kisah Serhiy sebelum dia akhirnya berkahwin dengan lelaki idamannya itu tujuh tahun kemudian.

Menurut Elena, dia menjadi tertarik dengan Serhiy selepas dia menyaksikan berita penangkapan dan perbicaraan lelaki itu. Wanita berkenaan kemudiannya mula melawat Serhiy di penjara sebelum jatuh cinta dan berkahwin dengannya pada tahun 2015.

“Saya tidak takut langsung dengan kesalahannya. Saya rasa ia sesuatu perkara yang baik apabila semua perempuan takut akan dirinya (Serhiy). Ia bermakna saya tidak perlu bersusah payah mahu memenangi hatinya,” ujar Elena dalam satu temu bual.

Malah, Elena mendedahkan dia sanggup membantu Serhiy menanam mayat mangsanya sekiranya diminta.

Pada lewat tahun 2016, pasangan Serhiy dan Elena dilaporkan sudah menimang cahaya mata perempuan. Menurut Elena, suaminya itu masih belum berjumpa dengan anak mereka ekoran dia masih berada di dalam penjara.

Tambah Elena lagi, dia kini sedang giat berusaha supaya suaminya itu dapat dibebaskan awal dari penjara dan merancang bakal menjalani hidup berkeluarga di timur Rusia.

Artikel Lain Untuk Di Baca