Kurang Ajar Dan Melampau, Warganet Biadap Kecam Ibu Syed Saddiq Di Facebook

Kecaman dan masyarakat kita memang berpisah tiada terutamanya di dunia media sosial. Selalunya, mereka yang terkenal dan mempunyai ramai pengikut akan melalui perkara ini setiap hari. Kadang-kadang, kecaman yang dilemparkan langsung tiada kaitan dengan apa yang dikongsikan. Sudah menjadi lumrah pejuang papan kekunci di Malaysia, ada sahaja kesalahan orang yang dicari mereka.

Itulah apa yang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq terpaksa hadapi setiap kali beliau memuat naik sesuatu hantaran di media sosial. Jika sebelum ini Syed Saddiq menerima kecaman hebat daripada warganet selepas memuat naik foto memaparkan beliau membasuh tangan untuk memupuk kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan dalam mencegah virus COVID-19, terbaharu anak muda berwawasan ini dikecam gara-gara berkongsi foto bersama ibunya pula.

Semalam, Syed Saddiq telah memuat naik foto bersama ibu beliau iaitu Puan Sharifah Mahani di laman Facebook. Tulis Syed Saddiq, ibu beliau akan bersara pada tahun ini sebagai seorang guru yang berkhidmat lebih 30 tahun. Dalam hantaran yang sama, Syed Saddiq turut berkongsi rasa bangga menjadi anak kepada seorang guru.

Tinjauan kami di ruangan komen bagaimanapun mendapati bahawa ada segelintir warganet yang tidak senang dengan perkongsian itu.

Seorang pengguna Facebook di sebalik akaun bernama Gusti Nizam Shah Pirana mengatakan yang kebiasaannya, anak insan bergelar guru ini cerdik tetapi Syed Saddiq pula sebaliknya.

Pepatah Mat Salih ada mengatakan, “What you give, you get back” dan itulah apa yang terjadi kepada Gusti Nizam Shah Pirana. Ada pengguna lain yang bertindak mengecam dirinya semula selepas dia tanpa rasa bersalah berbuat demikian kepada Syed Saddiq.

Seorang lagi pengguna laman itu, Ganesan Anbalahan turut meninggalkan komen berbaur kecaman terhadap Syed Saddiq dengan bertanyakan, “Bagaimana anak seorang guru begitu pandai berlakon dan meraih simpati orang ramai?” Namun begitu, ramai warganet tidak bersetuju dengan dakwaan tidak berasas di sebalik soalan yang diutarakan oleh Ganesan Anbalahan itu dan melihatnya sebagai satu penghinaan yang melampaui batas.

Tidak cukup dengan itu, ada warganet yang bertindak melemparkan kecaman terhadap ibu Syed Saddiq sendiri dengan mengatakan keputusan beliau untuk bersara adalah yang terbaik memandangkan beliau telah mengajar si anak untuk menipu rakyat Malaysia. Menyifatkan komen tersebut sebagai keterlaluan, seorang pengguna laman itu tampil menasihati Sharif Shana supaya tidak menghina ibu orang lain meskipun betapa bencinya kita terhadap mereka.

Seorang lagi warganet iaitu Fuad Abdul Rahman turut tidak ketinggalan untuk meninggalkan coretan berbaur kecaman di hantaran tersebut. Mendakwa Syed Saddiq sebagai seorang yang kuat berlakon, menipu dan membohong, Fuad Abdul Rahman mempersoalkan di mana salahnya asuhan dan didikan seorang guru sehingga menghasilkan anak seperti itu. Persoalannya sekarang, siapa yang mengajar Fuad Abdul Rahman untuk mengecam orang bagaikan tiada hari esok? Adakah ibunya yang bersalah dalam hal ini? Kami pasti jawapannya adalah tidak sama sekali.

Apa-apa pun, semoga kita semua dijauhkan daripada menjadi seorang yang biadap dan tidak berhemah terutamanya di sebalik skrin telefon pintar. Carilah aktiviti yang membawa faedah kepada diri dan juga orang lain kerana menjadi pejuang papan kekunci dan menyebarkan kebencian di alam maya ternyata tidak berfaedah sama sekali dan ia jelas telah banyak mencetuskan perbalahan dan penghinaan yang tidak wajar. Budaya mengecam dan menghina ini juga jelas tidak mencerminkan prinsip kelima dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Jikalau bukan kita yang patuh pada prinsip ini, siapa lagi?

Untuk membaca artikel lain berkenaan Syed Saddiq, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca