Kura-Kura Muncul Sebelum Penerbangan, Punca Landasan Ditutup Dan Pesawat Ditunda

Salah sebuah landasan di Lapangan Terbang Narita, Tokyo terpaksa ditutup selama kira-kira 12 minit setelah seekor kura-kura dilihat berjalan di landasan tersebut. Hal ini turut menyebabkan lima penerbangan dilewatkan sehingga 15 minit.

Menurut laporan The Mainichi, kejadian berlaku pada Jumaat, 24 September, sekitar jam 11.35 pagi iaitu waktu di mana pesawat All Nippon Airways (ANA) Airbus A380 dijadualkan untuk berlepas.

Pesawat tersebut telah bersedia untuk berlepas dari landasan berukuran 4,000 meter apabila juruterbang memaklumkan kepada kawalan trafik udara mengenai kewujudan kura-kura itu.

Untuk memastikan keselamatan penerbangan dan menjalankan pemeriksaan, Narita International Airport Corp. menutup landasan selama 12 minit dan membawa kura-kura tersebut ke kawasan lebih selamat.

Pihak pentadbiran lapangan terbang mengatakan bahawa kura-kura yang panjangnya 30 sentimeter dan seberat 2.1 kilogram itu berkemungkinan mendiami kolam simpanan milik Lapangan Terbang Narita yang terletak kira-kira 100 meter dari landasan tersebut.

Sumber: The Mainichi

Narita International Airport Corp. ingin mengenal pasti jenis kura-kura itu untuk menentukan sama ada ia boleh ditempatkan di habitat semula jadi.

Pada hari itu, pesawat Airbus A380 milik ANA yang biasanya digunakan untuk laluan Tokyo – Hawaii itu sedang bersiap sedia untuk berlepas bagi penerbangan sulungnya ke Naha, Okinawa. Secara kebetulannya, pesawat ini menampilkan corak grafik penyu di badan pesawat.

Pesawat Airbus A380 di Lapangan Terbang Narita. Sumber: Malaysia Gazette

Syarikat penerbangan tersebut dalam kenyataannya bekata: “Di Hawaii, penyu dilihat membawa tuah dan kami berharap kura-kura yang ingin melihat pesawat ini berlepas memberi petanda masa depan yang cerah.”

Untuk baca artikel berkaitan lain, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca