Kulit Muka Hadapan Al-Quran Dicetak Dengan Wajah Artis Terkenal?

Senaskah al-Quran telah tercemar kesuciannya apabila kulit muka hadapan kalam suci itu telah dicetak dengan wajah seorang artis terkenal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Al-Quran itu bagaimanapun berjaya dikesan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kamaldin Mohd Damin yang merupakan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Seksyen Regulatori Hadith, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN berkata bahawa al-Quran terbabit berjaya ditemui pada tahun lepas di sekitar ibu negara dan pihaknya sedang mengesan syarikat yang bertanggungjawab mencetak kulit muka hadapan al-Quran terbabit.

Walaupun ia merupakan kes terpencil, Kamaldin Mohd Damin tetap berkeras mahu memberikan perhatian serius dan pemantauan berterusan bagi memelihara kesucian kitab umat Islam itu. Al-Quran itu difahamkan hanya dicetak senaskah sahaja dan dijadikan sebagai ‘hadiah’ namun masyarakat harus sedar ia tidak boleh dilakukan.

“KDN juga merampas al-Quran yang dicetak dalam tulisan rumi. Kononnya bagi memudahkan golongan yang tidak tahu membaca tulisan Arab termasuk mualaf. Namun, ia menjadi kesalahan kerana pembaca akan membaca dengan sebutan yang salah yang membawa maksud salah,” katanya selepas merasmikan Seminar Pemuliaan Al-Quran dan Rasm Uthmani di Dewan KDN, Anak Bukit semalam.

Selain merampas al-Quran yang dicetak dengan wajah artis itu, KDN juga berjaya mengesan beberapa naskah al-Quran lain yang dicetak tidak mengikut kaedah penulisan dan penandaan ‘rasm Uthmani’ sepertimana yang diguna pakai di Arab Saudi dan diamalkan umat Islam di negara ini.

Kebanyakan al-Quran itu  menggunakan ‘mushaf Imla’i’ yang tidak sesuai digunakan secara terbuka kerana boleh menyebabkan wujudnya beberapa kekeliruan daripada segi pembacaan.

“Al-Quran jenis ini banyak dicetak di Indonesia dan Thailand yakni dengan reka bentuk dan warna yang menarik dan berinovasi. Ia dijual secara dalam talian dan ada yang dibawa masuk ke negara ini oleh ejen dari negara berkenaan,” katanya.

KDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia kini giat melakukan kerjasama dalam mengetatkan kawalan dan akan merampas al-Quran yang meragukan serta tiada kelulusan daripada Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) di setiap pintu masuk negara.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca