Kucing Peliharaan Pertama Yang Positif COVID-19 Di Amerika Syarikat

Dua ekor kucing di New York menjadi haiwan peliharaan pertama di Amerika Syarikat (AS) yang disahkan positif COVID-19.

Pada awalnya, kedua-dua ekor kucing berkenaan mengalami simptom penyakit pernafasan, namun pemeriksaan lanjut dilakukan dan kemudian mendapati haiwan terbabit dijangkiti koronavirus.

Dua kucing yang berada di lokasi berbeza itu disyaki telah dijangkiti COVID-19 daripada pemilik atau individu di sekelilingnya.

Kedua-dua ekor kucing itu mempunyai peluang besar untuk pulih selepas diberi rawatan lanjut.

Pegawai Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS iaitu Dr. Casey Barton Behravesh yang mengesahkan kes itu meminta semua pihak supaya tidak bimbang dan tidak panik.

“Kita merekodkan kes pertama haiwan peliharaan dijangkiti COVID-19 di AS. Adalah penting untuk dimaklumkan bahawa haiwan ini berkemungkinan besar dijangkiti daripada manusia.

“Sehingga kini belum ada bukti haiwan peliharaan boleh menyebarkan virus ini kepada manusia,” katanya.

Pakar penyakit berjangkit AS iaitu Dr. Anthony Fauci juga berkongsi pendapat sama dan menegaskan tiada bukti menunjukkan virus itu boleh disebar daripada haiwan peliharaan kepada manusia.

Terdahulu, seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, New York turut disahkan positif COVID-19 selepas mengalami simptom selesema.

Untuk baca artikel lain berkaitan haiwan dan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca