Kucing Ini Ratapi Pemergian Tuannya, Pergi Melawat Kubur Arwah Setiap Hari Untuk Lepaskan Rindu

Kisah yang saya coret ini merupakan kisah yang berlaku dalam hidup saya sendiri atau lebih tepat, ia mengenai arwah ayah saya yang merupakan seorang pencinta kucing sewaktu dia masih lagi bernafas di dunia ini.

Saya sendiri sering dengar orang mengatakan bahawa apabila kita berbuat baik kepada haiwan, ia akan ingat jasa kita selama-lamanya. Sebelum ini, saya agak ragu-ragu dengan perkara itu kerana pada saya, bagaimana haiwan yang tidak berakal boleh ingat tentang kebaikan manusia terhadap mereka?

Mungkin Tuhan mahu tunjuk dan hapuskan segala keraguan yang bersangkar dalam fikiran saya. Ternyata, benarlah apa yang diperkatakan selama ini. Makhluk bernama haiwan ini akan ingat seseorang yang berbuat baik kepadanya sampai bila-bila.

Ini kisah tentang arwah ayah saya iaitu Romali Mamat. Sewaktu ayah masih hidup, ayah merupakan seorang pencinta kucing. Mungkin tahap kecintaan terhadap haiwan bernama kucing itu turun pada saya memandangkan saya juga pantang nampak haiwan comel itu.

Walau bagaimanapun, cinta macam mana pun saya terhadap kucing, kadang-kadang pernah juga tertinggi suara apabila ia buat perangai. Namun, tidak bagi ayah. Ayah langsung tidak pernah marah apatah lagi pukul kucing atau jentik telinganya. Betapa kasihnya ayah terhadap mahkluk Tuhan itu.

Kami ada membela beberapa ekor kucing di rumah. Setiap seekor ada macam-macam ragam. Ada seekor yang diberi nama Ted di mana kerjanya asyik berak merata sahaja. Bukan di atas rumput, tetapi di atas sofa atau karpet memandangkan ia duduk di dalam rumah.

Seingat saya, lebih 30 kali ayah terpaksa cuci hasil buangan si Ted itu. Bangun sahaja daripada tidur, pasti terhidu bau ‘nyaman’ yang datang daripada ‘hadiah’ Ted tinggalkan. Ayahlah yang membersihkan ‘harta’ yang lupa disorok Ted itu memandangkan dalam keluarga kami, semuanya geli belaka.

Kadang-kadang, kasihan tengok ayah sampai mengah dibuatnya sebaik sahaja selesai membersihkan tahi Ted. Ayah memang ada sakit jantung, jadi bila buat kerja sikit pasti cepat penat. Namun, tidak pernah sekali saya nampak dia memarahi atau memukul Ted. Betapa sabarnya dia.

Pada waktu pagi, ayah gemar untuk duduk membaca surat khabar di beranda rumah. Surat khabar yang dibaca itu dibiarkan terhampar di lantai. Selalunya, kucing-kucing peliharaan kami akan mula menyibuk dan duduk di atas surat khabar yang sedang ayah baca itu. Kadang-kadang, ada yang sampai tertidur.

Kerana rasa cinta yang tinggi terhadap haiwan itu, ayah biarkan sahaja kucing-kucing tadi duduk di situ. Tak dapat baca pun tiada masalah, nanti-nanti boleh sambung. Yang penting, kucingnya tidak rasa terganggu.

Pada 13 Februari 2016, mimpi ngeri yang paling saya takut betul-betul jadi kenyataan. Ayah akhirnya menghembuskan nafas terakhir selepas 14 hari bertarung nyawa di ICU. Kata doktor, paru-paru ayah dijangkiti kuman.

Jenazah ayah kemudiannya dibawa balik ke rumah untuk dimandikan. Sewaktu proses mandi jenazah, saya masih ingat sampai ke hari ini di mana Ted turut berada di situ. Ted duduk di atas meja menyaksikan ayah dimandikan. Daripada raut wajah Ted, ia seolah-olah tahu yang tuannya sudah tiada lagi.

Ketika ayah meninggal, saya sedang belajar di Melaka. Adik-beradik yang lain pula ada yang bekerja di Selangor. Abanglah yang hari-hari menziarahi kubur arwah ayah memandangkan dia tinggal di Terengganu. Namun, abang tidak pergi melawat ayah seorang diri, ada yang turut ikut di belakang.

Ini nama dia Boboy. Salah seekor yang gemar kacau ayah baca surat khabar pagi-pagi. Setiap kali abang pergi ke kubur ayah, pasti Boboy akan ikut sekali. Kadang-kadang, abang baru buka pintu rumah, Boboy yang pergi dulu ke kubur. Tak sabar agaknya untuk jumpa ayah. Ia seolah-olah tahu rutin itu.

Setiap petang, abang akan baca Yasin ketika menziarahi kubur ayah. Sampai habis baca barulah Boboy ikut pulang sekali. Pernah juga dia buat perangai tak nak ikut pulang ke rumah sampaikan abang kena dukung macam bawa anak.

Rutin ini berlaku selama empat bulan hinggalah pada suatu hari, Boboy menghilangkan diri. Sampai sekarang kami semua tidak tahu apa yang terjadi pada Boboy. Masih hidupkah Boboy? Atau mungkin dia sedang bermain-main dengan ayah di atas sana? Pada mulanya, ibu sampai tak lalu makan memikirkan nasib Boboy yang pintar itu. Lama-kelamaan, kami semua pasrah. Sekiranya Boboy masih hidup, saya sentiasa berdoa agar ia dipelihara oleh tuan semurni ayah.

Apa jadi dengan Ted? Ted juga telah tiada. Sama seperti Boboy, sampai ke hari ini kami tidak tahu apa yang terjadi kepadanya. Mungkin masing-masing bawa diri sebab rasa kehilangan apabila tuannya telah tiada. Mungkin juga mereka tidak mahu mati di depan mata kami.

Apa yang terjadi ibarat cahaya yang membuka mata saya bahawa apabila kita berbuat baik terhadap haiwan, ia akan ingat jasa kita selama-lamanya meskipun kita sudah berada di alam lain.

Percayalah, tidak rugi kalau kita berbuat baik kepada kucing atau haiwan lain. Kita juga tidak akan jatuh miskin sekiranya kita memberi makan kepada kucing. Setiap apa yang kita lakukan sama ada baik atau buruk pasti akan ada balasannya. Janji Allah itu pasti.

Semoga kisah ini dapat dijadikan iktibar buat semua. Al-Fatihah buat ayah. Semoga ayah tenang di sana.

Artikel Lain Untuk Di Baca