Beberapa hari lepas, seekor kucing peliharaan telah menjadi penyelamat apabila menjumpai seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat yang dipercayai dibuang di dalam semak di Jalan Bayam, Kota Bharu, Kelantan.
Pemilik kucing berkenaan, Mohd Norazam Che Wahab berkata memang sudah menjadi rutin hariannya melepaskan kucingn peliharaannya itu setiap pagi di kawasan berdekatan rumahnya.
Menurutnya, kucingnya itu terus berlari meluru melintas jalan sebaik dilepaskan dan seolah-olah mencari sesuatu di dalam semak .
“Saya yang bimbang dengan keselamatan kucing itu terus bergegas sama melintas jalan tiba-tiba terdengar seakan-akan suara bayi kecil. Ketika itu, saya berfikir dari mana suara itu datang kerana tiada jiran berdekatan mempunyai bayi.” katanya.
Ketika itu dia bersama-sama kucingnya terus mengintai-intai di kawasan sekitar semak dan menemui seorang bayi dalam keadaan masih dipenuhi darah dan bertali pusat.
Selepas itu, dia terus memberitahu jirannya yang dikenali sebagai Kak Dah untuk menghubungi pihak polis dan membawa kain untuk menyelamatkan bayi berkenaan.
“Saya percaya bayi ini baru sahaja dilahirkan kerana darah di badannya belum kering dan masih bertali pusat.” kata Norazam.
Norazam turut berkata ada jirannya yang ternampak sebuah kereta diletakkan di kawasan itu sebelum bayi itu dijumpai tetapi tidak menyangka ia kemungkinan ada kaitan dengan kes buang bayi berkenaan.
Katanya dia bersyukur kerana sudah menyelamatkan nyawa seorang bayi dan sudah dibawa polis ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan polis akan menjalankan sisatan lanjut termasuk akan cuba mendapatkan mana-mana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan tempat kejadian.
Nasib baiklah kucing itu dapat mengesan tangisan bayi comel berkenaan. Kalau tak, tidak dapat dibayangkan apa yang akan berlaku kepada bayi itu.