Setiap ibu mempunyai naluri untuk melindungi anak-anaknya daripada bahaya. Kisah menyayat hati tentang kucing bernama Scarlett, si ibu kucing yang mempertaruhkan nyawanya sendiri dalam usaha menyelamatkan anak-anaknya daripada mati terbakar jelas membuktikan bahawa kasih sayang itu sebenarnya wujud bukan sahaja pada manusia, malah juga pada haiwan.
Peristiwa ini terjadi pada 30 Mac 1996 di mana Scarlett dan 5 ekor anaknya berada di garaj terbengkalai yang terletak di Brooklyn, New York semasa kebakaran berlaku. Kebakaran tersebut akhirnya terkawal dengan bantuan bomba.
Salah seorang pemadam kebakaran di tempat kejadian, David Giannelli telah menyaksikan sesuatu yang sungguh luar biasa di mana seekor ibu kucing membawa anak-anaknya keluar dari garaj tersebut satu demi satu.
Scarlett dikhabarkan telah terbakar dengan teruk dalam cubaan menyelamatkan anak-anaknya. Paling menyedihkan, hampir seluruh tubuh Scarlett telah terbakar termasuklah di bahagian mata, namun dia tetap berjuang ‘menggigit’ leher anaknya satu persatu untuk menyelamatkan mereka daripada amukan api.
Dia membawa kesemua anaknya ke tempat yang selamat dan setelah itu, keadaan Scarlett yang sangat lemah akibat dijamah api membuatkannya terus jatuh rebah. Betapa besarnya pengorbanan ibu kucing ini!
Selepas kejadian tersebut, Scarlett dan seluruh keluarga comelnya segera dibawa ke klinik veterinar di North Shore Animal League di Port Washington, New York untuk dirawat. Walau bagaimanapun, salah seekor daripada 5 ekor anak Scarlett tidak berjaya diselamatkan akibat virus yang dihidapinya, sebulan selepas kes kebakaran itu berlaku.
Setelah melalui rawatan dan pemulihan selama 3 bulan, Scarlett dan anak-anaknya yang masih hidup disahkan sihat dan menjalani hidup seperti biasa.
Malangnya, kucing heroin tersebut yang telah melalui banyak kesulitan untuk anak-anaknya kini telah tiada lagi selepas bertempur dengan pelbagai penyakit setelah 12 tahun tinggal bersama keluarga angkatnya. Tanggal 15 Oktober 2008 merupakan hari terakhir Scarlett di dunia. Scarlett telah mengajar kita semua erti keberanian dan kasih sayang tanpa kompromi.
Jika seekor kucing mampu menyayangi anaknya sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa, seharusnya manusia yang mempunyai akal mampu berbuat lebih baik daripada Scarlett. Semoga kisah ini dapat dijadikan iktibar buat kita semua.