Kucing Beri ‘Hint’ Asyik Mengiau Pukul 3 Pagi, Rupanya Ada Kisah Misteri Di Rumah Teres Ini

*Gambar hanya sekadar hiasan.

“Meow! Meow!”

Setiap hari sekitar jam 3 hingga 5.30 pagi, Sofeah Razak dan suaminya pasti terjaga daripada tidur kerana dua ekor kucing peliharaan mereka akan mengiau tidak henti-henti.

Menurut wanita yang berusia 35 tahun itu, dia dan suaminya sebelum ini tinggal di Kuantan, Pahang. Namun begitu, atas faktor tuntutan kerja, mereka terpaksa berpindah ke Selangor.

Kata Sofeah, dia rasa sangat bertuah dan bersyukur kerana perpindahannya ke Selangor berjalan dengan lancar terutama sekali selepas menemui rumah teres dua tingkat yang bertempat di Puncak Alam. Mereka akhirnya mengambil keputusan untuk menyewa di rumah berkenaan.

Hanya bertahan selama dua minggu

Gambar hanya sekadar hiasan.

Jelas Sofeah yang baru menamatkan zaman bujang pada Disember tahun lalu, dia dan suami turut membawa dua ekor kucing kesayangan yang diberi nama Tommy dan Tuti ke rumah baharu mereka.

“Tommy dan Tuti memang sudah lama saya bela, sebelum berkahwin lagi. Mereka berdua ini dah macam anak saya sendiri.

Jadi bila nak pindah, kami ambil keputusan untuk bawa mereka sekali. Mana boleh tinggal di sana (Kuantan),” cerita Sofeah kepada mStar.

Sepanjang minggu pertama Sofeah dan suami berada di rumah tersebut, memang tiada kejadian pelik berlaku. Namun begitu, masuk sahaja malam kelapan, keadaan di rumah itu menjadi huru-hara semasa mereka sedang nyenyak tidur.

“Setiap malam, lebih kurang pukul 3 hingga 5.30 pagi, kami akan terjaga disebabkan bunyi bising kucing mengiau-ngiau.

Lebih pelik lagi si Tommy dan Tuti asyik menghadap salah satu sudut ruang tamu di rumah,” kata Sofeah.

Menurut Sofeah, jenuh dia memanggil dua ekor ‘anaknya’ itu masuk ke bilik tidur, namun masing-masing tetap berbuat bising dan terus mengiau seolah-olah mereka berada dalam kesakitan.

“Keesokan harinya, saya ambil keputusan untuk membawa mereka ke klinik veterinar, namun doktor memberitahu kedua-dua kucing ini sihat sahaja.

Pada malam seterusnya, sebelum tidur saya membawa mereka masuk bilik tidur bersama. Peliknya pada waktu yang sama, mereka tetap mengiau-giau,” ujar Sofeah.

Panggil ayah dari kampung

Gambar hanya sekadar hiasan.

Memandangkan kejadian pelik itu terus berlaku, Sofea mengambil keputusan untuk memanggil ayahnya dari kampung untuk datang ke rumah.

“Sebaik sahaja sampai, ayah terus melakukan solat sunat di rumah. Pada malamnya kami membuat sedikit majlis doa selamat dan menjemput jiran-jiran berdekatan.

Selepas sahaja majlis tamat, ada seorang pak cik datang berborak dengan suami dan ayah saya.

Pak cik ini merupakan jiran selang empat rumah dari kediaman kami. Dia ada beritahu rumah yang saya tinggal itu sudah lama kosong dan tidak pernah ada yang kekal lama di sini.

Katanya, ada sahaja benda pelik berlaku dan pak cik itu cakap pernah dengar wanita mengilai pada tengah malam.

Kadang-kadang, terdengar bunyi bising walaupun ketika itu tidak ada penghuni,” cerita Sofeah.

Ambil keputusan untuk pindah rumah

Gambar hanya sekadar hiasan.

Selepas perbualan dengan jirannya tadi, Sofeah dan suami akhirnya mengambil keputusan untuk mencari rumah lain.

“Saya tidak sanggup untuk terus berjaga malam. Kucing-kucing saya pun tidak aktif seperti dulu. Tommy dan Tuti kelihatan takut sepanjang masa.

Saya memberitahu tuan rumah mengenai perancangan kami untuk tamatkan kontrak sewa lebih awal dan dia bersetuju malah memulangkan semula wang deposit sewa rumah.

Mungkin dia faham situasi yang kami hadapi ini. Peliknya dia tidak bercerita panjang,” akhiri Sofeah.

Untuk baca kisah-kisah misteri lain, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca