Kubur seorang wanita di Kampung Bulusan, Karangdowo, Klaten, Jawa Tengah digali semula setelah suami arwah dan seorang ahli keluarga sering mimpi didatangi arwah.
Difahamkan, mereka sering didatangi arwah dalam mimpi kerana ikatan jenazahnya tidak dileraikan ketika dikebumikan 12 Julai lalu, lapor solopos.com.
Ahli keluarga arwah melaporkan bahawa dalam mimpi mereka, si arwah datang menangis dan merayu untuk tali jenazahnya dibuka.
Si suami kemudian menyatakan hasratnya untuk menggali semula kubur isterinya untuk meleraikan tali tersebut kepada Ketua Hubungan Masyarakat Desa Bulusan, Kecamatan Karangdowo, Heri Purwoko.
Pada asalnya Heri telah menolak permintaan tersebut namun kerana si suami tekad untuk melakukannya, beliau dan pasukan sukarelawan tempatan telah menggali kubur arwah pada 18 Julai lepas.
“Namun proses ini tidak melibatkan petugas kesihatan kerana mangsa meninggal akibat serangan jantung dan bukan Covid-19,” kata Heri.
Beliau juga mengatakan bahawa para sukarelawan yang terlibat memakai Peralatan perlindungan peribadi (PPE) lengkap ketika menggali kubur.
Setelah digali semula, ternyata dakwaan ikatan jenazah si isteri tidak dileraikan itu adalah benar.
Akhirnya, setelah tali jenazah selesai dileraikan, arwah dikebumikan kembali.
Menurut Heri, ketika proses pengebumian terdahulu, anggota pengebumian tidak membuka keranda yang tiba dari hospital.
Heri Purwoko mengatakan kejadian penggalian kubur tersebut merupakan kejadian kali kedua dalam lima tahun ini.
Terdahulu, sebuah kubur digali semula kerana jenazah kebumikan dalam posisi yang salah dan ia disedari oleh salah seorang petugas yang terlibat.
“Lebih kurang lima tahun lalu, kami juga pernah menggali semula sebuah kubur. Waktu itu, kepala jenazah terletak di selatan.
Setelah dikuburkan, ada petugas yang ingat dan ia gali semula untuk membetulkan posisi jenazah,” katanya.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: