Kubur Sudah Digali, Wanita Ini Bagaimanapun Hidup Semula Lepas 10 Jam

Selepas kira-kira 10 jam diisytiharkan sudah tidak bernyawa, seorang wanita berusia 83 tahun di Ukraine menggemparkan para doktor dan keluarganya selepas dia tiba-tiba hidup semula.

Ksenia Didukh, 83, disahkan telah meninggal dunia di rumahnya di Stryzhavka pada minggu lalu selepas paramedik dipanggil ke lokasi oleh ahli keluarganya.

Walau bagaimanapun, 10 jam selepas itu, Ksenia mula menunjukkan tanda seolah-olah dia masih hidup sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan.

Ketika Ksenia membuka matanya semula, keluarganya sudah mengaturkan majlis pengebumian di mana paderi telah ditempah dan kubur buat wanita itu sudah pun siap digali.

Menurut laporan, Ksenia Didukh yang juga merupakan jururawat bersara telah diperiksa pasukan paramedik pada 17 Februari lalu. Hasil pemeriksaan kemudiannya mendedahkan Ksenia berada dalam keadaan tenat dan ahli keluarganya membuat keputusan untuk membiarkan wanita berkenaan di rumah.

Walau bagaimanapun, Ksenia dikatakan sudah berhenti bernafas keesokan harinya dan paramedik sekali lagi dipanggil sambil ditemani pasukan polis.

Doktor memeriksa tanda vital dan tiada sebarang aktiviti jantung dikesan sebelum membuat pengesahan kematiannya.

Keluarga Ksenia kemudiannya dilaporkan segera membuat persiapan majlis pengebumiannya sebelum anak perempuannya, Tetyana Potomchenko menyedari sesuatu yang pelik.

Pada kira-kira jam 7.30 malam, Tetyana memegang dahi ibunya dan mendapati kawasan berkenaan suam.

“Ketiaknya juga panas. Dia (Ksenia) masih hidup. Sijil kematiannya terpaksa dibatalkan,” ujar Tetyana.

Sebaik Ksenia tiba di hospital, wanita itu disahkan telah berada di dalam koma sebelum akhirnya tersedar.

Apabila disoal mengenai apa yang berlaku ketika Ksenia berada dalam koma, wanita tua itu menjawab, dia berada di syurga bersama bapanya.

“Saya seperti sudah memegang bapa saya. Apabila saya membuka mata, saya dikelilingi mereka yang berpakaian serba putih. Saya sangkakan mereka malaikat, rupanya doktor,” kata Ksenia.

Dalam pada itu, menurut Dr. Tetyana Katylova, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku sepanjang 20 tahun kariernya sebagai seorang doktor di Vinnytsia Regional Hospital.

Paderi Roman Petrik yang ditempah khas untuk mengetuai majlis pengebumian Ksenia itu pula menyifatkan apa yang terjadi kepada wanita itu adalah suatu keajaiban.

“Tuhan telah memberikan kehidupan semula kepada wanita ini. Ini adalah kali pertama saya melihatnya dengan mata sendiri,” ujarnya.

Untuk membaca artikel lain berkaitan kelahiran, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca