Kru Produksi Langgar Protokol COVID-19, Rakaman Audio Tom Cruise Berang Dengan Mereka Tersebar

Baru-baru ini, Tom Cruise menjadi bualan ramai selepas sebuah klip audio tular di mana aktor tersebut melontarkan kata-kata kesat kepada kru produksi filem Mission: Impossible 7.

Pelakon berkenaan dilaporkan berang selepas melihat dua orang kru produksi filem tersebut tidak mematuhi protokol kesihatan COVID-19 apabila berdiri terlalu dekat dengan satu sama lain di hadapan skrin komputer.

Menerusi rakaman berkenaan, beliau telah menggunakan suara bernada tinggi ketika memarahi kru produksi filem tersebut, “Mereka kini dapat kembali ke Hollywood dan boleh membuat filem ketika ini kerana individu-individu berkenaan percaya dengan apa yang kita lakukan.

Saya menghubungi studio-studio di luar sana, syarikat insurans dan produser setiap malam. Individu-individu tersebut berharap kepada kita untuk membuat filem mereka.

Sumber: BBC

Kita menghasilkan beribu pekerjaan kepada mereka di luar sana. Oleh itu, saya tidak mahu melihat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 ini berlaku sekali lagi.

Sekiranya saya lihat kamu atau kru produksi lain lakukan perkara tersebut, anda akan hilang pekerjaan. Kamu boleh minta maaf dengan mereka yang kehilangan kerja dan tempat tinggal kerana industri kita tidak boleh beroperasi ketika ini.

Situasi ini tidak akan dapat memberi mereka makan atau mampu menanggung perbelanjaan anak-anak. Itu apa yang terlintas dalam fikiran saya setiap malam sebelum tidur.

Atas sebab itu, saya tidak boleh lagi menerima permohonan maaf daripada kamu semua. Kita tidak akan menghentikan penggambaran filem ini. Adakah kamu semua jelas? Kamu semua akan dipecat sekiranya saya melihat situasi seperti ini berlaku sekali lagi.”

Sumber: Esquire

Sementara itu, sesi penggambaran Mission: Impossible 7 telah banyak kali ditunda kerana penularan wabak COVID-19 ketika perjalanan kumpulan produksi dan pelakon filem tersebut ke seluruh Eropah.

Selepas kembali ke United Kingdom dua minggu lalu, Cruise berusaha sedaya upaya untuk memastikan tiada isu yang timbul dan sekali gus akan menyebabkan kelewatan penggambaran filem tersebut.

Pada pendapat anda, adakah tindakan Cruise memaki hamun kru produksi tersebut wajar atau sebaliknya? Anda boleh tonton video penuh di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan selebriti antarabangsa, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca