Search
Close this search box.

Kotak Hitam Pesawat Ukraine PS752 Sudah Ditemui, Keluarga Dan Rakan Mangsa Nahas Kini Berkabung

Dua kotak hitam milik pesawat Ukraine International Airlines PS752 yang terhempas semalam di Tehran dilaporkan sudah ditemui.

Menurut pegawai rasmi Iran, kedua-dua kotak hitam berkenaan mengalami kerosakan ekoran insiden. Namun begitu, data yang terkandung di dalamnya masih boleh didapati.

Kapal terbang Ukraine International Airlines PS752 itu dalam perjalanan menuju ke Kiev, Ukraine sebelum ia terhempas hanya beberapa minit usai meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini dekat Iran semalam.

Insiden hempasan kapal terbang jenis Boeing 727-800 itu telah mengorbankan kesemua 167 penumpang dan sembilan anak kapal di dalamnya.

Sumber: BBC News

“Secara keseluruhan, seramai 82 warga iran dan 63 warga Kanada berada di dalam kapal terbang itu saat ia terhempas ke bumi,” ujar Menteri Luar Ukraine, Vadym Prystaiko.

“Seramai 11 orang warga Ukraine disahkan terkorban. Manakala yang lain terdiri daripada rakyat Sweden, Afganistan, United Kingdom dan Jerman.”

Menerusi imej yang disiarkan media rasmi Iran, jelas terpampang kawasan padang yang terbakar dan serpihan daripada pesawat yang terhempas.

Selain itu, terdapat juga paparan gambar yang menunjukkan beg mayat mangsa nahas disusun rapi di atas tanah, manakala barangan peribadi penumpang seperti bagasi dan patung Santa Claus dilihat bertaburan di sekitar serpihan pesawat.

Dalam pada itu, Kanada dan Amerika Syarikat kini menggesa siasatan penuh dilakukan pada kadar segera bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.

Susulan daripada kejadian terbabit, Ketua organisasi penerbangan awam Iran, Ali Abedzadeh berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Ukraine untuk menyiasat kandungan kotak hitam pesawat.

Walau bagaimanapun, kotak hitam berkenaan tidak akan diserahkan kepada Amerika Syarikat ekoran Iran tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.

Menurut pakar penerbangan, hanya beberapa negara sahaja di dunia yang mempunyai kepakaran untuk menganalisis kotak hitam pesawat termasuk Britain, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat.

Insiden hempasan pesawat Ukraine International Airlines berkenaan dikatakan berlaku hanya beberapa jam selepas Tehran melancarkan serangan peluru berpandu terhadap tentera Amerika di Iraq sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Jeneral Qaseem Soleimani.

Untuk membaca artikel lain berkaitan konflik di antara Iran dan Amerika Syarikat, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca