Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak koronavirus.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan SKMM, suspek berusia 34 tahun itu ditahan di kediamannya yang bertempat di Bangi, Selangor pada jam 4 petang semalam bagi membantu siasatan terhadap satu kandungan yang dimuat naik di laman sosial Facebook pada 26 Januari 2020.
“Kandungan mengenai koronavirus itu didapati palsu. Turut dirampas adalah telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik berita palsu tersebut di laman Facebook terbabit,” kata kenyataan itu.
“SKMM dan PDRM mengambil serius perbuatan ini dan sedang giat mengesan tiga lagi suspek untuk membantu siasatan. lni menunjukkan ketegasan kedua-dua pihak dalam memastikan tindakan sewajarnya dikenakan kepada mereka yang memulakan, berkongsi dan menyebarkan berita palsu melalui platform media sosial,” kata kenyataan itu lagi.
Difahamkan, suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.
“Tindakan tegas ini adalah salah satu usaha SKMM dan PDRM mengawal penyebaran berita tidak sahih mengenai koronavirus oleh individu yang tidak bertanggungjawab sehingga mampu mengganggu-gugat kestabilan negara dan ketenteraman awam,” ujar pihak SKMM.

Pada Isnin lalu, SKMM dan PDRM telah memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan kandungan khabar angin atau berita yang tidak sahih mengenai penularan koronavirus di Malaysia.
Penyebar khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Untuk baca artikel lain berkenaan penularan wabak koronavirus, anda boleh klik pada pautan di bawah: