Koronavirus: Sabah Gantung Penerbangan Dari China Serta-Merta

Kerajaan Sabah mengambil keputusan untuk menggantung semua penerbangan dari China ke Kota Kinabalu berkuatkuasa serta-merta sehingga tarikh diberitahu kelak.

Keputusan yang dibuat semasa mesyuarat Kabinet itu adalah untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat di negeri tersebut menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Christina Liew.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu berkata, “Walaupun penggantungan ini akan memberi kesan kepada industri pelancongan negeri, kerajaan memandang serius kesihatan dan kebajikan warga Sabah.”

Tambahnya, “Kami mahu menghindari risiko mendedahkan rakyat kepada mana-mana individu yang mungkin merupakan pembawa wabak novel koronavirus.”

“Penggantungan ini hanya sementara dan semua operasi perniagaan dijangka akan bersambung semula apabila situasi kembali menjadi normal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Christina akui bahawa penggantungan penerbangan tersebut merupakan satu keputusan yang amat sukar dan ia mungkin tidak dapat diterima dengan baik oleh peserta industri pelancongan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata bahawa kerajaan negeri perlu memastikan kebajikan rakyat tidak terjejas.

Jelasnya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan memaklumkan kepada semua syarikat penerbangan yang mengendalikan laluan dari China mengenai keputusan kerajaan itu.

Akhir kata, Christina memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerajaan negeri memantau keadaan berkenaan dengan rapi.

Christina berkata, “Pada masa sama, kita perlu mendapatkan maklumat terkini yang benar daripada sumber yang boleh dipercayai dan tolong jangan sebarkan berita palsu atau yang belum disahkan.”

Untuk pengetahuan anda, kerajaan China turut melarang rakyatnya dari Wuhan, Xi’an, Beijing, Tianjin dan Guangzhou daripada melancong ke luar negara.

Video berdurasi tiga minit ini menerangkan secara ringkas dan padat tentang koronavirus dan langkah-langkah pencegahannya.

Untuk baca lebih banyak artikel mengenai koronavirus, anda boleh klik pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca