Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa dua lagi kes koronavirus baharu (2019-nCoV) di negara ini menjadikan jumlah positif adalah seramai 14 orang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata bahawa kes pertama melibatkan adik perempuan kepada rakyat Malaysia pertama yang positif virus tersebut.
Menurut laporan Harian Metro, wanita berusia 40 tahun itu mempunyai kontak langsung dengan abangnya semasa pulang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina di kampungnya yang terletak di Kedah pada 23 Januari lalu.
Dr. Dzulkefly berkata, “Wanita ini mula mengalami demam dan sakit tekak pada 1 Februari dan batuk pada 4 Februari. Beliau mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta bagi gejala yang dialaminya itu.”
Namun, “Sebaik sahaja ahli keluarganya dikesan positif koronavirus, beliau kemudiannya dijejaki oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).”
Dr. Dzulkefly mengesahkan bahawa hasil siasatan mendapati bahawa wanita itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China.
Walau bagaimanapun, sampel wanita itu dan ahli keluarganya yang lain diambil sebagai sebahagian daripada aktiviti siasatan.
Wanita itu kemudiannya menerima rawatan di wad isolasi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan kini berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sebuah sidang media Perkembangan Terkini Kluster 2019-nCoV di KKM Putrajaya pada hari ini.
Sementara itu, kes kedua positif koronavirus pula membabitkan seorang pelancong wanita dari Wuhan, China.
Wanita itu tiba di Malaysia bersama ibu dan tiga orang rakannya pada 25 Januari lalu.
Dr. Dzulkefly berkata, “Mereka sudah melawati tempat pelancongan di sekitar Kuala Lumpur dan datang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 1 Februari lalu untuk mendapatkan rawatan bagi gejala demam ringan dialaminya.”
Tambahnya, “Doktor yang merawatnya membenarkan dia pulang dengan membekalkan ubat bagi gejala dialami selain Home Assessment Tool.”
Dr. Dzulkefly berkata bahawa wanita berusia 37 tahun itu dan ahli kumpulannya tidak dibenarkan untuk pergi ke mana-mana bagi menjalani Perintah Pengawasan dan Pemantauan.
Empat hari kemudian, wanita itu dilaporkan masih lagi menunjukkan simptom wabak tersebut menyebabkan dirinya dirujuk semula ke HKL untuk menerima rawatan selanjutnya pada 5 Februari lalu.
Wanita itu ditempatkan di wad isolasi HKL dan kini berada dalam keadaan stabil.
Untuk membaca lebih banyak artikel mengenai koronavirus di Malaysia, anda boleh klik pautan di bawah: