Koronavirus: Jepun Catat Kes Pertama Dari Mangsa Tidak Pernah Ke Wuhan

Kerajaan Jepun semalam mengesahkan terdapat dua lagi kes baharu membabitkan jangkitan novel Koronavirus (2019-nCoV).

Hal ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada enam orang.

Menurut Menteri Kesihatan Jepun, Katsunobu Kato, dua kes terbaharu itu melibatkan pemandu bas pelancong berusia 60-an dan seorang lelaki berumur 40-an.

Walau bagaimanapun, pemandu bas pelancong berkenaan dilaporkan tidak pernah pergi ke bandar Wuhan, China yakni di mana wabak berbahaya berkenaan bermula.

“Mangsa disahkan menghidap radang paru-paru pada Sabtu lalu sebelum ditahan di sebuah hospital di wilayah Nara,” jelas Katsunobu.

Sementara itu, seorang lagi mangsa adalah lelaki yang berasal dari Wuhan. Dia difahamkan sudah tinggal di negara matahari terbit itu semenjak 20 Januari lalu.

“Lelaki berkenaan juga didapati menghidap radang paru-paru,” tambah Katsunobu lagi.

Menurut laporan, Kementerian Kesihatan Jepun sedang memantau rapi kesihatan individu yang mempunyai hubungan dengan dua pesakit berkenaan.

Terdahulu, Jepun mengesahkan jangkitan pertama wabak Koronavirus di negara itu pada 16 Januari lalu yang melibatkan seorang mangsa warganegara China.

Difahamkan, lelaki berusia 30 tahun itu menetap di wilayah Kanagawa sebelum kembali ke Wuhan pada 6 Januari lalu.

Sejurus kembali ke Jepun, mangsa dilaporkan mula mengalami simptom wabak berbahaya itu sebelum dimasukkan ke hospital pada 10 Januari.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan lelaki berkenaan telah dibenarkan pulang ke rumah sejurus pulih sepenuhnya.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan China mengesahkan terdapat 6,052 kes positif jangkitan Koronavirus.

Jumlah kematian terkini pula sudah meningkat kepada 132 orang dengan 840 kes baharu di wilayah Hubei. Kebanyakan pesakit yang meninggal dunia adalah mereka yang berusia lebih 60 tahun dan mempunyai masalah kesihatan sedia ada.

Menurut pakar perubatan China, wabak Koronavirus boleh menjangkiti manusia lain melalui hubungan rapat.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Koronavirus, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca