Koronavirus: Dikendali Pasukan Tentera, Hospital Sementara Pertama Mula Operasi

Hospital sementara pertama bagi menempatkan pesakit Koronavirus baharu di China dilaporkan telah dibuka semalam.

Mengambil masa dua minggu untuk dibina, Hospital Huoshenshan kini menerima 50 pesakit dan dikendalikan rapi oleh pasukan tentera.

Difahamkan, kemudahan kesihatan yang dilengkapi 1,000 katil itu dibina bagi memudahkan pasukan perubatan merawat pesakit wabak 2019-nCoV baharu di Wuhan.

Menurut arahan pihak berkuasa China, semua kakitangan hospital berkenaan diwajibkan memakai topeng hidung dan mulut.

Terdahulu, China telah mengarahkan empat syarikat pembinaan untuk membina hospital terbabit di atas tapak seluas enam ekar.

Projek berkenaan sudah bermula ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Difahamkan, China sebelum ini akan membina sekurang-kurangnya empat hospital sementara seperti itu bagi tujuan menempatkan pesakit-pesakit yang dijangkiti wabak Koronavirus di negara berkenaan.

Dua daripadanya dibina di Wuhan yang merupakan bandar yang paling terjejas dek penularan wabak berkenaan.

Sementara dua lagi dikatakan bakal dibina di Huanggang yang terletak berhampiran Wuhan dan Zhenzhou, di tengah wilayah Henan.

Selain Hospital Huoshenshan, sebuah lagi hospital sementara dilaporkan bakal dibuka di Wuhan dan diberi nama Leishenshan.

Walau bagaimanapun, Leishenshan yang mempunyai kapasiti 1,600 katil masih dalam proses pembinaan.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan sebuah gimnasium, pusat pameran dan kompleks budaya di Wuhan telah diubahsuai kepada hospital sementara sejak malam Isnin lalu.

Pusat-pusat berkenaan dilaporkan bakal menempatkan pesakit Koronavirus baharu yang menunjukkan simptom-simptom ringan.

Setakat ini, China merekodkan jumlah kematian tinggi iaitu 425 kes akibat wabak itu.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Koronavirus, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca