Koronavirus Di Malaysia, Kesemua 4 Kes Disahkan Negatif

Menerusi satu kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat empat kes disyaki dijangkiti Koronavirus (NCoV) telah dikesan di negara ini.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan usai menerima laporan daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan.

Kesemua suspek yang dipercayai sudah dijangkiti telah dimasukkan ke wad pengasingan bagi membolehkan rawatan dan siasatan lanjut dijalankan.

Walau bagaimanapun, ujian makmal ke atas sampel milik tiga orang pesakit pertama menunjukkan hasil negatif bagi jangkitan NCoV. Manakala seorang lagi mangsa yang berada di Sabah telah di masukkan ke wad pengasingan di sebuah hospital di negeri itu pada Rabu lalu.

“Individu yang dimasukkan ke wad pengasingan di sebuah hospital di Sabah telah disahkan negatif jangkitan Koronavirus” ujar Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Pada awal bulan ini, Koronavirus mula tersebar di Wuhan, China selepas beberapa individu dilaporkan memiliki simptom seperti pneumonia. Wabak itu akhirnya disahkan sebagai penyakit baharu oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beberapa kes di luar daerah Wuhan mula dikesan selepas itu yang melibatkan kawasan seperti Beijing, Shanghai, Guangdong, Thailand, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Amerika Syarikat. Setakat semalam, pihak berkuasa China mengesahkan terdapat 571 kes jangkitan baharu dan 17 kematian akibat Koronavirus di negara itu.

Sebuah pasar makanan laut dan haiwan eksotik di Wuhan disyaki merupakan punca wabak berkenaan tersebar. Sementara itu, media antarabangsa melaporkan terdapat kemungkinan bahawa virus berbahaya itu tersebar kepada manusia daripada ular yang turut dijual di pasar berkenaan.

Susulan penularan wabah ini, Datuk Dr. Noor Hisham berkata, aktiviti saringan di pintu masuk antarabangsa kini diperkukuh dan individu yang disyaki akan dirujuk untuk pemeriksaan lanjut.

Tambahnya, saringan pesakit di klinik kesihatan dan hospital turut diperkukuh. Malah, tatacara pengurusan kes disyaki wabak Koronavirus membabitkan fasiliti kesihatan dan swasta juga dikeluarkan.

Datuk Dr. Noor Hisham juga menasihati rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke Wuhan, China bagi mencegah penularan wabak Koronavirus. Sekiranya tiada pilihan lain, individu berkenaan sewajarnya mengelak daripada mengunjungi tempat tumpuan umum atau bergaul rapat dengan pesakit yang sudah dijangkiti penyakit itu.

Selain itu, beliau turut menyarankan rakyat agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi. Penutup mulut dan hidung harus dibawa serta pencuci tangan digunakan apabila perlu.

“Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan daripada melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan serta mengelak memakan sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.”

“Mereka juga perlu segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun sukar bernafas, dalam tempoh 14 hari selepas pulang daripada lawatan itu.”

“Maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat,” jelasnya.

Untuk membaca artikel lain berkaitan negara China, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca