Kord Sambungan Boleh Mengundang Kematian, Elakkan Guna 5 Jenama Ini

Baru-baru ini pada April 2019, Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan Mekanikal Hong Kong (EMSD) telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai untuk berhenti menggunakan 5 jenama atau model kord sambungan ini kerana ia didapati tidak selamat.

Wayar dalam wayar sambungan ini dilaporkan lebih nipis daripada keperluan dan oleh itu, ia boleh menjadi terlalu panas dan mungkin menyebabkan kebakaran. Berikut merupakan 5 jenama kord sambungan yang berbahaya:

1. Remax (Model RU-S4)

2. LDNIO (Model SC3301)

3. LDNIO (Model SC3604)

4. Tiada Jenama (Model ZGN-T06)

5. Tiada Jenama (Model ZGN-T08)

Di samping kabel nipis di dalamnya, semua model kecuali Remax RU-S4 dilaporkan tidak dilengkapi dengan fius yang merupakan sebahagian daripada keperluan keselamatan. Oleh itu, pihak berkuasa Hong Kong telah menggesa warga negara mereka untuk berhenti membeli dan menggunakan tali lanjutan untuk mengelakkan masalah panas yang boleh menyebabkan kebakaran.

Kabel sambungan juga boleh menjadi terlalu panas dan menyebabkan kebakaran apabila ia digunakan secara tidak wajar. Pemanasan melampau biasanya disebabkan oleh beban lebihan atau menyambung peralatan yang menggunakan lebih banyak watt daripada kord yang boleh mengendalikan. Kord sambungan yang rosak juga boleh menyebabkan kebakaran. Pemanasan melampau boleh berlaku di plag, di soket, atau di sepanjang keseluruhan kord.

Selepas berita ini tular di media sosial, ramai orang termasuk rakyat Malaysia terkejut kerana barang-barang ini mudah didapati di negara Malaysia melalui platform jualan dalam talian. Sesetengah orang menyatakan kebimbangan mereka kerana mereka sedang menggunakannya manakala ada juga yang berkongsi cara mereka menggunakan model ini untuk beberapa waktu tetapi tiada apa yang berlaku.

Oleh itu, langkah-langkah keselamatan haruslah diketahui dan dipraktikkan oleh pengguna kord sambungan ini. Sebelum menggunakan kord sambungan, carilah tanda-tanda yang kelihatan rosak atau mempunyai kerosakan yang berlebihan pada palam, soket atau penebat. Jika terdapat kerosakan pada wayar, pengguna harus ganti tali wayar tersebut supaya sebarang percikan api yang dihasilkan daripada pengaliran elektrik tidak terdedah atau terkeluar daripada tali wayar.

Seterusnya, periksa sama ada kord sambungan ditarafkan dengan betul untuk kegunaan produk yang dipasang. Di samping itu, jangan menggunakan perkakas yang kuasanya di luar kemampuan kord sambungan. Pengguna perlu memeriksa kapasiti atau penarafannya dengan melihat tag pada kord atau pembungkusannya dan begitu juga pada perkakas yang hendak digunakan jika had kuasanya dinyatakan.

Selain itu, pengguna harus melindungi kord sambungan dengan mengelakkan ia daripada rosak. Contohnya, jangan menggunakan kord sambungan di lokasi seperti di bawah karpet, melalui pintu dan perabot. Hal ini demikian kerana karpet mudah terbakar. Penggunaan melalui pintu pula boleh menyebabkan wayar mudah calar dan terdedah manakala perabot juga mudah terbakar.

Oleh itu, elakkan meletak kord di lokasi ini dan letaklah di lokasi yang sesuai seperti berdekatan dinding dan di atas lantai. Selanjutnya, jangan memotong atau ubah bilah palam dalam apa jua cara melainkan anda mengetahui cara dan prosesnya. Lebih-lebih lagi, cabut palam sambungan apabila ia tidak digunakan atau menutup suis plag. Di samping mengelakkan bahaya kebakaran, cara ini juga menjimatkan kegunaan tenaga elektrik.

Kesimpulannya, kord sambungan telah lama dikenal pasti sebagai salah satu punca kebakaran. Tidak hairanlah mengapa penggunaannya dilarang di bangunan tertentu seperti hospital dan sekolah di negara-negara tertentu. Jika hendak menggunakan kord sambungan, pilihlah kord sambungan yang telah diluluskan oleh SIRIM.

Pilihlah kord sambungan yang sekurang-kurangnya 16 AWG (saiz wayar dalam kord) atau 18 AWG tetapi dengan perlindungan fius. Para pengguna haruslah memilih kord sambungan yang betul dengan mengkaji dan memahami kenyataan spesifikasi kord sambungan tertentu dan gunakannya seperti yang telah dinyatakan.

Lindungilah orang yang tersayang dengan mengamalkan langkah berjaga-jaga dalam mengendalikan barangan dan teknologi yang digunakan dalam hidupan seharian.

Penulis

  • Aiman Aqil Zaini adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Untuk baca artikel lain berkenaan perkara atau barangan yang boleh membawa kepada kematian, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca