Korbankan Separuh Populasi Verona, Ini 6 Wabak Paling Berbahaya Dalam Sejarah

Baru-baru ini, berita mengenai penularan wabak yang dikenali sebagai Koronavirus semakin menjadi-jadi. Sudah menjangkiti lebih 7,000 orang di seluruh dunia, Malaysia juga tidak terkecuali daripada kes positif virus berkenaan.

Dikala masyarakat dunia sedang berwaspada dengan penularan virus ini, penulis akan kongsikan enam wabak lain yang pernah mengancam dunia.

1. Wabak Justinian

Meskipun Justinian I sering dikatakan sebagai maharaja Byzantine yang paling berpengaruh, zaman pemerintahannya berlaku seiring dengan salah satu daripada wabak pertama yang direkodkan dalam sejarah.

Dipercayai bermula di Afrika, wabak ini kemudiannya tersebar ke Eropah melalui tikus yang dijangkiti di dalam kapal pedagang sebelum tiba di Constantinople pada tahun 541.

Oleh kerana wabak Justinian ini mampu meragut sekurang-kurangnya 10,000 nyawa dalam satu hari, banyak jasad-jasad manusia gagal dikebumikan dan akhirnya disusun di dalam bangunan atau dibiarkan sahaja.

Menurut ahli sejarawan purba Procopius, mangsa penyakit ini menunjukkan tanda-tanda klasik wabak bubonik termasuk demam secara mengejut dan kebengkakkan pada noda limfa.

Maharaja Justinian I tidak terkecuali daripada dijangkiti wabak berkenaan. Walau bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana masih hidup.

Usai menghilangkan diri dari Byzantium, wabak Justinian dilihat membuat kemunculan semula untuk beberapa tahun di beberapa kawasan di Eropah, Afrika dan Asia.

Menurut anggaran, wabak Justinian sudah meragut sekurang-kurangnya 25 juta nyawa. Namun begitu, jumlah sebenarnya dipercayai mungkin lebih dari itu.

2. The Black Death

Pada tahun 1347, satu wabak disyaki berpunca daripada kelasi warga Itali yang pulang ke rumah dari Crimea telah menakluki Eropah.

Wabak yang dikenali sebagai The Black Death ini mendatangkan malapetaka di mana ia telah mengakibatkan lebih 50 juta nyawa yakni separuh daripada populasi Eropah terkorban.

Menerusi penulisan penyajak Welsh bernama Jeuan Gethin, beliau menyifatkan wabak The Black Death seperti kematian yang datang seperti asap hitam.

“Ia merupakan satu wabak yang membunuh anak-anak kecil. Ia langsung tiada belas kasihan,” tulisnya.

Pelbagai cara digunakan masyarakat Eropah pada masa itu untuk menangani wabak ini. Namun, dek kerana kekurangan ilmu pengetahuan, kebanyakan daripada mereka hanya menerima hakikat bahawa The Black Death merupakan hukuman Tuhan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan.

The Black Death akhirnya hilang sepenuhnya di Barat kira-kira pada tahun 1353.

3. Wabak Itali tahun 1629-1631

Meskipun zaman The Black Death sudah tamat, wabak bubonik masih terus berleluasa di Eropah buat beberapa abad. Salah satunya adalah permulaan pandemik pada tahun 1629 di Itali.

Dikenali sebagai Wabak Itali tahun 1629-1630, penyakit ini dipercayai berpunca daripada askar yang pulang ke sebuah bandar Itali yang dikenali sebagai Mantua usai menyertai Perang 30 Tahun.

Dua tahun kemudian, Wabak Itali dikesan berleluasa di kawasan kampung di beberapa bandar besar seperti Verona, Milan, Venice dan Florence.

Di Milan dan Venice, pihak berkuasa bandar telah mengambil tindakan mengkuarantinkan pesakit di sebuah rumah yang dikenali sebagai pesthouse. Segala barangan dan pakaian milik mangsa dibakar bagi mengelakkan penularan wabak.

Tidak cukup dengan itu, golongan Venetian turut mengusir sesetengah mangsa wabak ke dua pulau di lagun berdekatan. Meskipun pendekatan yang diambil untuk mencegah wabak ini boleh dikatakan agak kasar, ia berjaya menghalang penyakit berkenaan daripada terus membunuh semua penduduk Itali.

Wabak Itali tahun 1629-1630 ini telah meragut sebanyak 280,000 nyawa termasuk setengah populasi Verona.

4. Wabak besar London

Beberapa wabak melanda Kota London pada abad ke-16 dan ke-17. Pandemik berbahaya ini mula wujud di kawasan pinggiran bandar St. Giles-in-the-Fields. Lama-kelamaan, ia mula merebak kepada kawasan yang lebih padat dan kotor di bandar.

Pada September 1665, kira-kira 8,000 nyawa terkorban setiap minggu. Ramai orang-orang kaya termasuk Raja Charles II meninggalkan bandar dan berpindah ke kawasan kampung.

Menerusi hasil penulisan Reverend Thomas Vincent, beliau tidak pernah melihat banyak kematian suami dan isteri yang berlaku sekelip mata.

“Terlalu ramai ibu bapa yang membawa anak mereka ke kubur bersama,” tulisnya.

Apabila wabak berkenaan semakin merebak, kerajaan London cuba membendung penularannya dengan mengeluarkan perintah kuarantin kepada mereka yang sakit di dalam rumah masing-masing. Kediaman itu kemudiannya ditandakan dengan salib merah.

Dianggarkan seramai kira-kira 75,000 sehinga 100,000 orang terkorban sebelum wabak ini menghilang pada tahun 1666. Walau bagaimanapun, London sekali lagi dibadai bencana apabila Api Besar tahun 1666 membakar majoriti bandarnya.

5. Wabak Besar Marseille

Kawasan barat Eropah mengalami pandemik terakhir bagi zaman pertengahan pada tahun 1720. Penyakit berkenaan dipercayai tiba ke bandar pelabuhan Perancis yang dikenali sebagai Marseille melalui sebuah kapal dagang bernama Grand Saint Antoine.

Menurut rekod, kapal berkenaan telah mengambil beberapa penumpang yang sudah dijangkiti wabak semasa dalam perjalanan ke Timur Tengah. Meskipun pengangkutan itu sudah dikuarantinkan, pemiliknya yang secara kebetulan merupakan timbalan datuk bandar Marseille berjaya meyakinkan pegawai kesihatan untuk membenarkannya menurunkan barang dagangan.

Disebabkan itu, tikus-tikus yang membawa penyakit berleluasa di bandar Marseille dan mula menjangkiti orang ramai. Angka kematian melonjak sehingga jasad-jasad bergelimpangan di atas jalan. Perkara itu mengakibatkan kerajaan terpaksa mengerahkan banduan untuk melupuskan kesemua mayat-mayat terbabit.

Di daerah Provence pula, satu tembok wabak telah dibina sebagai cara untuk menangani penularan penyakit berkenaan. Walau bagaimanapun, usaha itu menemui jalan buntu selepas ia masih lagi tersebar sehingga ke kawasan selatan Perancis.

Wabak Besar Marseille akhirnya pupus pada tahun 1722. Jumlah kematian keseluruhan adalah kira-kira 100,000 orang.

6. Wabak Pandemik Ketiga

Sekiranya Wabak Justinian dan The Black Death adalah dua pandemik utama dalam sejarah, Wabak Pandemik Ketiga yang berlaku pada tahun 1855 merupakan antara penyakit yang paling baharu pernah berlaku.

Mula-mula dikesan di wilayah Yunnan, China, wabak ini kemudiannya merebak ke serata dunia berdekad-dekad lamanya. Pada permulaan abad ke-20, tikus yang sudah dijangkiti berjaya menyebarkan penyakit berkenaan ke enam benua melalui kapal wap.

Wabak yang berlaku di seluruh dunia ini akhirnya meragut kira-kira 15 juta nyawa sebelum perlahan-lahan menghilang pada tahun 1950an. Kebanyakan mangsa adalah mereka yang tinggal di China dan India.

Meskipun begitu, Wabak Pandemik Ketiga ini telah menyumbang kepada beberapa pencapaian pakar dalam cuba memahami wabak bubonik.

Pada tahun 1894, seorang doktor di Hong Kong bernama Alexandre Yersin berjaya mengenal pasti bakteria jenis bacillus Yersinia pestis yang merupakan penyebab utama beberapa wabak penting.

Beberapa tahun kemudian, seorang lagi pakar perubatan berjaya mengenal pasti cara penyebaran penyakit kepada manusia pada zaman dahulu iaitu melalui gigitan daripada kutu tikus.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca