Korbankan Lebih Separuh Populasi Eropah, Ini 5 Wabak Paling Dahsyat Dalam Sejarah Manusia

Dunia kini sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 di mana ia merupakan satu virus baharu yang berasal daripada kumpulan koronavirus. Virus ini dipercayai mula dikesan di wilayah Hubei, China. Berdasarkan data Johns Hopkins University, setakat 16 April 2020, jumlah kumulatif kes jangkitan COVID-19 telah melebihi 2.04 juta orang dan 133,354 kematian.

Dalam pada masyarakat dunia sedang berusaha untuk mengekang penularan wabak COVID-10, berikut kami kongsikan lima wabak paling dahsyat pernah berlaku dalam sejarah manusia:

1. Maut Hitam (Black Death)

Dipercayai bermula sekitar tahun 1346-1353, wabak Maut Hitam atau lebih dikenali sebagai Black Death dikatakan telah meragut jumlah paling tinggi daripada populasi dunia ketika itu iaitu kira-kira 200 juta mangsa.

Untuk rekod, mangsa korban wabak ini meliputi lebih separuh daripada jumlah populasi warga Eropah ketika itu.

Difahamkan, ia berpunca daripada sejenis bakteria yang sudah pun pupus pada masa kini. Bakteria yang dikenali sebagai Yersinia pestis itu dipercayai disebarkan oleh kutu.

Mereka yang dijangkiti wabak ini akan menunjukkan gejala-gejala seperti tempelan hitam yang tumbuh pada kulit. Ia kemudiannya akan mula bernanah sehingga mengeluarkan darah.

2. Cacar Air (Smallpox)

Wabak cacar air yang dipercayai bermula sejak zaman Empayar Mesir telah menyerang kira-kira 56 juta populasi dunia.

Virus yang dikenali sebagai Varicella ini tersebar menerusi udara apabila mereka yang menderita cacar air itu batuk atau bersin.

Difahamkan, apabila seseorang itu dijangkiti virus ini, dia akan menunjukkan simptom seperti demam dan timbul ruam lepuh pada badan.

Walau bagaimanapun, cacar air kini mampu dicegah dengan vaksin berikutan kecanggihan teknologi perubatan moden pada zaman sekarang.

3. Selesema Sepanyol (Spanish Flu)

Mula merebak pada tahun 1918, wabak ini dianggarkan telah mengorbankan lebih daripada 40 juta nyawa.

Meskipun ia digelar sebagai Selesema Sepanyol, penyakit ini tiada kena mengena dengan negara itu.

Ia disebut sedemikian rupa kerana ketika kemunculan wabak tersebut, undang-undang penapisan akhbar Sepanyol tidak ketat menjadikan penyebaran maklumat terlampau bebas. Oleh sebab itu, wabak tersebut disalah anggap berpunca dari negara Sepanyol dan namanya kekal sebegitu sehingga kini.

4. Wabak Justinian

Jumlah sebenar kematian akibat wabak yang telah menyerang pusat pentadbiran Empayar Byzantine ini masih menjadi perdebatan sehingga ke hari ini.

Ramai yang berpendapat bahawa wabak ini berpunca daripada kehadiran tikus di dalam kapal yang datang dari Mesir ke sebuah pekan pelabuhan yang dikenali sebagai Pelusium.

Memandangkan ia berlaku sekitar 541 Tahun Masihi (AD), banyak perkara yang tidak diketahui berkenaan wabak Justinian ini.

Menurut beberapa sumber, Maharaja Justinian turut dijangkiti wabak tersebut. Dia bagaimanapun berjaya sembuh. Namun begitu, empayarnya dikatakan jatuh dan lumpuh semasa wabak itu merebak.

5. AIDS

Human Immunodeficiency Virus atau lebih dikenali sebagai HIV akan menyerang badan seseorang dan menyebabkan Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS). Kesannya, sistem ketahanan badan seseorang yang diserang virus ini akan musnah dalam sekelip mata sahaja.

Menurut portal UNAIDS, sejak kes pertama direkodkan 35 tahun lepas, terdapat 78 juta mangsa yang dijangkiti HIV dan 35 juta daripada jumlah itu meninggal dunia.

Sumber lain pula mengatakan bahawa virus tersebut sebenarnya berpunca daripada monyet di Afrika.

Meskipun sudah beberapa dekad berlalu, vaksin bagi menghapuskan virus berjangkit ini masih belum berjaya ditemui sehingga sekarang.

Dalam pada itu, kesudahan wabak COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia masih menjadi tanda tanya memandangkan tiada vaksin yang berjaya ditemui sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, setiap apa yang berlaku di muka bumi ini termasuklah ujian yang menimpa kita semua pasti ada hikmahnya.

Untuk baca artikel lain tentang wabak-wabak paling dahsyat dalam sejarah manusia, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca