Korban Pertama Akibat Hantavirus Di China

Tatkala wabak Koronavirus baharu (COVID-19) di China sudah semakin pulih, seorang lelaki di republik itu pula dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit berjangkit lain iaitu hantavirus.

Menurut laporan media tempatan, lelaki itu berasal daripada wilayah barat daya China, Yunnan.

Laporan lanjut mendedahkan mangsa menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika dalam perjalanan pulang untuk bekerja di wilayah Shandong.

“Individu berkenaan dikatakan telah menaiki sebuah bas cartar pada Isnin lalu,” lapor media terbabit.

Susulan daripada kejadian, seramai 32 penumpang lain di dalam bas berkenaan juga diarahkan untuk menjalani ujian saringan.

Walau bagaimanapun, keputusan ujian itu tidak didedahkan kepada umum.

Untuk pengetahuan, penyakit berjangkit yang dikenali sebagai hantavirus itu pertama kali dilaporkan di Amerika Syarikat pada tahun 1993. Ia disebarkan kepada manusia melalui rodensia seperti tikus.

Meskipun tiada rekod bahawa virus ini boleh tersebar dari seorang individu ke individu lain, satu kajian pada tahun 1996 oleh Disease Control and Prevention, Amerika Syarikat mengatakan bahawa hantavirus di Amerika Selatan mungkin boleh merebak melalui seorang manusia ke manusia lain.

Tidak seperti wabak COVID-19 yang memaparkan simptom seperti batuk, demam dan kesukaran bernafas, hantavirus akan menyebabkan individu yang dijangkitinya mengalami keletihan, pening kepala dan kesakitan pada otot.

Untuk membaca artikel lain berkaitan penyakit berjangkit, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca