Konspirasi Mentol, Pernahkah Anda Terfikir Kenapa Jangka Hayat Lampu Di Rumah Anda Tidak Lama?

“Pasal hal mentol pun ada orang gerakkan konspirasi jugak ke?”

Persoalan ini timbul apabila saya secara tidak sengaja terjumpa sebuah video tentang sebiji mentol yang telah menjangkau usia 110 tahun pada ketika saya menonton video itu.

Pemegang rekod dunia sebagai mentol paling tahan lama. ‘Hidup’ dan menyala sejak 1901.

Dalam video tersebut, masyarakat setempat telah berkumpul di sebuah balai bomba untuk meraikan hari lahir mentol yang diberi nama Cahaya Centennial itu dengan nyanyian dan kek hari jadi. Selepas lebih satu abad, mentol itu masih menyala dan menerangi balai bomba tersebut, selain direkodkan sebagai ‘mentol paling tahan lama’ pada tahun 1972 oleh Guiness World Records.

Jelas, teknologi mentol atau lampu yang mampu bertahan cukup lama telah pun wujud sejak bertahun-tahun lamanya dari peringkat abad ke-20 lagi, sedangkan hanya beberapa tahun kebelakangan ini kita kembali dengan usaha mempopularkan teknologi LED yang punyai ketahanan lebih lama. Soalnya, di manakah keupayaan kita sebelum ini untuk membuat mentol cahaya tahan lama telah pergi? Ke lautkah?

Inilah konspirasi yang ingin kita kupas. Namun, ia tidaklah semudah mengupas kulit bawang. Tetapi tidaklah pula sampai perlu memerah otak dan berkerut dahi memikirkannya. Malah bagi saya, ia adalah satu anekdot yang cukup menarik untuk kita semua tahu dan ambil peduli.

Bagaimana pula saya boleh ‘secara tidak sengaja’ terjumpa video tersebut?

Ia adalah lebih kurang pada tahun 2013 apabila timbul rasa tidak puas hati saya kerana terpaksa menukar mentol-mentol lampu di I Am Lejen Shop dalam beberapa bulan sekali. Setiap mentol harganya bukanlah murah-murah pada ketika itu. Belum ada MR.DIY lagi pada ketika itu (atau mungkin belum meluas lagi rangkaian mereka) yang mana kita semua tahu ‘Always Low Prices’. Harga untuk sebiji mentol pada ketika itu kurang lebih antara RM15 hingga RM20.

Apa yang membuatkan saya rasa ‘rabak poket’ juga dengan belanja beli dan tukar mentol ini adalah kerana di I Am Lejen Shop ada lebih 20 biji mentol digunakan untuk tujuan pencahayaan kedai. Jika 2-3 bulan sekali saya perlu tukar mentol-mentol tersebut, perbelanjaan setahun dah menjangkau kurang lebih RM1500-RM2000 – hanya untuk beli mentol baru. Gila!

Dengan ramai orang yang lebih memilih mentol/lampu LED yang lebih efektif kosnya pada hari ini, kita patut tahu juga tentang sejarah mentol; konspirasi dan evolusinya pada masa lalu. Selain satu sejarah yang penuh dengan idealisme dan kapitalisme serta menarik untuk dikaji dari sudut pandang evolusi manusia juga teknologi, ia juga sebagai ilmu untuk kita ambil peduli tentang kewujudan ‘perangkap aneh’ yang mungkin kedengaran agak tidak masuk akal.

Jadi, soalan yang saya terfikir sebelum ini kini saya ajukan kepada semua pembaca:

Pernahkah anda terfikir mengapa mentol atau lampu di rumah atau tempat kerja anda tidak tahan lama, atau sekurang-kurangnya mampu hidup lebih lama daripada biasa?

Di sinilah wujudnya teori konspirasi yang percaya bahawa ada punca mengapa mentol lampu tidak mampu untuk tahan lebih lama.

1. PERMULAAN MENTOL CAHAYA DAN ASAL TIMBULNYA KONSPIRASI

Konspirasi mentol cahaya adalah teori berkenaan perkara terancang para pengeluar utama lampu mentol pijar yang telah berpakat untuk memastikan jangka hayat mentol mereka jauh lebih rendah daripada keupayaan teknologi mereka yang sebenar. Justeru, dengan cara ini mereka dapat memastikan permintaan berterusan untuk menghasilkan lebih banyak keuntungan.

Sejak ahli kimia British, Humphry Davy mencipta mentol cahaya pijar terawal pada tahun 1809, orang pertama yang melihat potensi komersil ciptaan ini ialah Thomas Alva Edison. Beliau telah menemui cara yang sesuai untuk menghasilkan mentol cahaya dan menawarkannya sebagai produk untuk kegunaan komersial. Edison Electric Light Company telah beliau tubuhkan pada 1878 di New York City susulan daripada itu. Kata Thomas Edison, “Kami akan membuatkan elektrik jadi sangat murah sampaikan hanya orang kaya saja yang menggunakan lilin.”

Model pertama mentol lampu Thomas Edison yang digunakan dalam demonstrasi awam di Menlo Park, Disember 1879.

Pada 23 Disember 1924, pengeluar lampu mentol terkemuka, antaranya Osram, Philips, dan General Electric telah berkumpul di Geneva untuk mesyuarat yang akan mengubah dunia selama beberapa dekad selepas itu. Mereka telah memutuskan untuk membentuk pertubuhan yang dinamakan Kartel Phoebus. Mereka mengatakan bahawa hala tuju kartel tersebut adalah dengan niat untuk menyeragamkan piawai teknologi mentol lampu.

2. GERAKAN KOSPIRASI

Ahli teori konspirasi mengesyaki dan percaya bahawa matlamat utama Kartel Phoebus bukanlah untuk membangunkan piawaian bagi mengawal pengeluaran dan penjualan antarabangsa semata-mata, tetapi sebaliknya lebih berniat untuk mencantas jangka hayat semua mentol lampu yang dihasilkan pada ketika itu. Ia jelas didorong oleh keuntungan dan peningkatan jualan para kapitalis ini. Untuk rekod, sebelum tahun 1924, jangka hayat sebiji mentol adalah antara 2000-2500 jam.

Jika mengambil kira keperluan penggunaan mentol secara purata dalam sehari selama 8 jam, satu-satu mentol mengambil masa hampir 11 bulan untuk tidak lagi menyala dan perlu diganti baru jika jangka hayatnya adalah 2500 jam. Ia bukanlah satu perkara yang menggembirakan mereka yang mendambakan keuntungan lebih pantas.

Jadi, untuk meningkatkan permintaan dan keuntungan mereka, ahli Kartel Phoebus bersetuju untuk mengurangkan separuh daripada hayat semua mentol mereka dengan menggunakan bahan yang berkualiti rendah sambil dalam masa yang sama merendahkan standard mekanisme pengeluaran.

Para ahli teori konspirasi berpendapat bahawa dengan cara ini geng kapitalis ini dapat meningkatkan permintaan untuk lampu mentol dan meningkatkan keuntungan mereka pada masa yang sama.

Salah satu sasaran utama Kartel Phoebus adalah untuk menghasilkan lampu yang lebih pendek jangka hayatnya. Sampel pengeluaran akan sentiasa diperiksa untuk memastikan mereka memenuhi piawaian kartel. Foto ini menunjukkan kemudahan pengujian yang dimiliki oleh ahli kartel Philips, dari Belanda.

Mentol lampu telah secara sengaja dibuat lebih rapuh dan para pemain dalam industri akan dipantau (dan jika perlu, dikenakan denda) untuk memastikan pematuhan yang ketat terhadap apa yang telah dirancang tentang degradasi produk.

Piawai industri mentol dengan jangka hayat selama 2500 jam pada tahun 1924 akhirnya jatuh ke 1000 jam sahaja pada tahun 1940.

Setiap kilang sentiasa menghantar sampel lampu suluh ke makmal pusat kartel di Switzerland untuk pengesahan. Grafik ini, yang diperoleh daripada Arkib Perbandaran Berlin menunjukkan bagaimana jangka hayat mentol secara amnya merosot dari semasa ke semasa, dari purata 1,800 jam pada tahun 1926 kepada 1,205 jam pada tahun fiskal 1933-34.

3. CUBAAN REBEL MENENTANG PIAWAI KARTEL PHOEBUS

Terdapat beberapa percubaan telah digerakkan di Eropah untuk mengelakkan piawaian yang ditetapkan oleh Kartel Phoebus. Pada tahun 1975, seorang pembuat jam berasal dari Jerman, Dieter Binninger telah mencipta mentol dengan jangka hayat selama 150,000 jam. Ya, ia dalam erti kata lain adalah 17 tahun tempoh penggunaan yang berterusan!

Walau bagaimanapun, tidak lama selepas beliau berjaya menemui pengeluar untuk mentolnya pada 1991, Binninger telah meninggal dunia dalam nahas pesawat, yang mana kematian itu telah diisytiharkan sebagai kemalangan. Ahli teori konspirasi berpendapat bahawa ia bukanlah satu kemalangan. Antara hujah yang dibuat adalah paten mentol 150,00 jam beliau turut hilang sejurus selepas kematiannya. Sejak daripada itu, paten beliau itu telah hilang tanpa jejak. Justeru, usaha untuk meneruskan kelangsungan usaha paten itu tidak dapat diteruskan oleh sesiapa pun.

Sama ada ini benar-benar satu konspirasi atau tidak, satu perkara yang pasti – sesetengah syarikat dan organisasi akan sentiasa berusaha untuk meraih keuntungan lebih dengan jalan pintas dan cara yang tidak baik.

4. LUMPUHNYA KARTEL KAPITALIS

Gerakan Kartel Phoebus telah dibongkar pada tahun 1939, iaitu selepas 15 tahun ditubuhkan. Dalam tempoh tersebut, mereka telah berjaya mengendalikan persaingan produksi mentol cahaya dan membatasi kemajuan teknologi termasuklah kejayaan mereka yang paling agung iaitu mencantas jangka hayat mentol cahaya.

Kartel Phoebus akhirnya dibubarkan kerana desakan luaran yang semakin meningkat, konflik antara ahli gabungan dan beberapa faktor lain. Yang paling membunuh mereka adalah gangguan dan kesan daripada Perang Dunia Ke-2.

5. TENTANG FILEM

Terdapat filem dokumentari tentang perkara ini yang diberi judul The Light Bulb Conpiracy (Konspirasi Mentol Cahaya) menggabungkan penyelidikan penyiasatan dan rakaman arkib yang ‘rare’ tentang gerakannya sejak permulaannya pada tahun 1920-an oleh Kartel Phoebus yang ditubuhkan dengan jelas untuk menghadkan jangka hayat cahaya mentol hinggalah kepada kisah-kisah masa kini termasuk gajet-gajet canggih keluaran jenama terkenal dunia.

Diarahkan oleh Cosima Dannoritzer, filem ini menjelajah ke Perancis, Jerman, Sepanyol dan Amerika Syarikat untuk mencari saksi tentang amalan perniagaan yang menjadi dasar ekonomi moden dan menayangkan kembali gambar-gambar yang ‘rare’ dari Afrika di mana barangan elektronik terpakai dilambakkan di kuburan besar khas untuk sisa elektronik.

Sedar atau tidak, sehingga ke hari ini masih ada peralatan yang kita gunakan dihadkan secara sengaja jangka hayatnya sama seperti The Light Bulb Conspiracy ini. Televisyen, mesin printer, telefon pintar dan banyak lagi; semua ini anda fikir pengeluarnya tidak cukup bijak dan cetek teknologi mereka untuk menghasilkan produk yang cukup baik dan tahan lama? Tahun depan dah nak masuk 2020, pastinya teknologi dunia tidaklah selemah itu.

Berbalik kepada masalah poket rabak disebabkan teori konspirasi ini, hari ini saya telah bertukar kepada penggunaan mentol LED yang jangka hayatnya lebih lama. Lebih menyenangkan hati saya adalah harganya di MR.DIY juga sangat murah iaitu RM5.57 sahaja.

MR.DIY 3U Shape LED Bulb Daylight 15W. RM5.57

Foto dan rujukan: MR.DIY, Wikipedia, IEEE Spectrum, Conpiracy Wiki, The Vintage News

Artikel Lain Untuk Di Baca