KONGSIKAN

Isu cetak rompak bukan sesuatu yang baru dalam industri seni tanah air. Ia seperti tidak ada kesudahannya. Perkara ini berlarutan disebabkan permintaan tinggi daripada penonton. Kandungan yang dimuat naik secara haram ini melanggar hak cipta stesen TV yang telah mengeluarkan kos untuk produksi mereka.

Chief Executive Officer (CEO), Media Prima Television Networks (MPTN) Johan Ishak meluahkan kekesalannya berhubung hal ini. Beliau menulis surat terbuka yang ditujukan kepada rakyat Malaysia dan laman-laman lanun yang memuat naik kembali konten drama dan rancangan yang diterbitkan oleh rangkaian Media Prima agar menghentikan perbuatan tersebut.

Melalui post beliau, Johan Ishak memberitahu para penonton bahawa mereka boleh menonton drama kegemaran mereka di laman rasmi Media Prima yang sah iaitu tonton.com.my. Bermula 1 September yang lalu, para penonton boleh melayari laman web tersebut secara percuma dan tiada sebarang caj akan dikenakan.

MINTA SEBARKAN SURAT UMUM SAYA KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA

Salam Penonton TV/MyTV/Astro/UnifiTV/YouTube/Internet yang saya hormati,

Saya CEO TV Media Prima. Jika ada masalah, silalah message saya di facebook akaun saya Johan Ishak. Ni nak sampaikan message di bawah:

1. Boleh tengok content TV3, TV9, ntv7 dan 8TV (drama, news, MHI, AJL, Muzik2, Nona, 999, Majalah 3, dan banyak lagi) for free on tonton.com.my sekarang berulang2 tak payah bayar dah since 1 Sep 2018. Tak payah log in dah sekarang. Terus masuk dan tonton. Kat YouTube TV3, TV9, ntv7, 8TV, BuletinTV3, etc, pun boleh. Kalau web slow, download phone app tonton.

2. Laman lanun ni semua tak mintak permission. So ianya cetak rompaklah sebab bila drama keluar laman diorang, Media Prima tak dapat wang iklan. Kalau korang tonton kat tonton.com.my ataupun YouTube TV3, etc, Media Prima dapat wang iklan. Nampak tak macamana hal ni jadi cetak rompak? Kami di Media Prima sedia berbincang dengan laman2 lanun tersebut jika mahu halalkan acara dan dengan perkongsian wang iklan yang setimpal.

3. Di luar negara, contohnya Singapura atau Australia, minta maaf memang content Media Prima haknya mengikut negara. Maka, kenalah suruh TV atau telco kat negara korang beli content dari Media Prima ye.

4. Iklan adalah satu-satunya sumber pendapatan untuk TV Media Prima. Kami bukan macam sesetengah platform dimana anda kena bayar bulanan. Kami free. Kalau tak de duit iklan, macamana saya nak bayar gaji staff, engineering transmission, bayar production house buat drama, bayar artist/host/newscaster, bayar buat Anugerah Juara Lagu, bayar macam macam lagi? Cubalah bertimbang rasa. Kalau tuan/puan kerja sebulan then majikan tak bayar gaji bulan tu, suka ke? Kami memerlukan duit iklan untuk membayar gaji dan kos kos berkenaan. Kalau kami tak boleh bayar, macamana nak sambung buat drama baru lagi?

So, berbalik kepada laman piracy/lanun tadi, kalau semua masih menonton to laman lanun,… hilanglah rezeki yg patut disalurkan kepada kami. Seolah2 bagai dirompak. Anda setuju ke dengan rompakan? Pikirkanlah sejenak kesahihan komen saya. Apa yang benar di sisi undang-undang dan agama.

Ingat,….. kalau nak tonton kandungan TV3, TV9, ntv7 dan 8TV, sila ke https://www.tonton.com.my

Salam

Johan Ishak
CEO TV Media Prima

Tambah beliau, saluran Media Prima adalah percuma untuk ditonton oleh semua di mana mereka tidak mengenakan bayaran bulanan kepada penonton jadi revenue daripada iklan adalah sangat penting buat Media Prima. Media Prima juga sudah berbincang dengan laman web yang melakukan cetak rompak tersebut jika mahu terus beroperasi, perkongsian wang iklan perlulah setimpal.

Johan Ishak berharap melalui penulisan beliau itu rakyat Malaysia dapat memberi sokongan kepada Media Prima dengan cara yang betul.

Penulis bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Johan Ishak berkenaan masalah cetak rompak yang semakin berleluasa. Jadi diharapkan rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan kepada industri hiburan tanah air dan hentikan gejala cetak rompak.