Komen Mas Idayu Buat Sissy Imann Menangis, Naim Daniel ‘Pujuk’ Sepupu

Penyanyi dan pelakon terkenal tanah air iaitu Naim Daniel memberi kata-kata semangat dan memujuk sepupunya iaitu Sissy Imann yang menerima kritikan pedas daripada Mas Idayu dalam sebuah program realiti nyanyian pada Ahad lalu.

Menerusi hantaran di laman Instagram, Naim yang juga merupakan pasangan duet Sissy dalam program itu berjanji akan sentiasa ada di samping penyanyi berusia 28 tahun itu dalam apa jua keadaan.

“Tak mengapa, saya ada. Kadang ada ketika di mana kita menjalani tuntutan tugasan kita dalam keadaan yang kita sendiri tak sehebat mana dalam menjayakannya tapi kita tetap cuba.

Walau kadang kita dua tak pasti sama ada orang akan suka bagai nak gila atau benci mencuka. Tak mengapa, saya ada,” tulisnya.

Penyanyi Sembah itu turut berkata bahawa dia dan Sissy adakalanya berhadapan dengan situasi yang serba tidak kena untuk membuat sesuatu keputusan.

Sumber: Instagram @naimdanielx

“Kadang ada ketika di mana kita berdua berhadapan dalam satu keadaan sama ada ingin menyahut cabaran atau kekal dalam selesanya landasan tapi tetap juga kita teruskan walau kita sama-sama takut dengan pelbagai penerimaan.

Biasalah darah muda kan suka perubahan? Pasti adanya penentangan. Itu adat pertandingan. Tak mengapa, saya ada,” tulisnya.

Sebelum menamatkan luahannya, pelakon Projek: High Council ini sempat menitipkan kata-kata semangat kepada Sissy supaya tidak putus asa dengan apa yang berlaku.

“Kadang ada hari di mana kita berdua mati akal, kaedah apa dan lagu apa lagi yang kita nak bedal supaya terhiburnya semua tanpa disangkal-sangkal.

Kita tetap cuba cekal walau tahu penat minggu demi minggu kian menebal. Tak mengapa, saya ada dan jangan risau. Walau ada hari di mana riang awak terhakis, menangis tak habis bagai pisau menghiris, tetap tak hilang peribadi awak yang umum tahu seorang yang manis. Tak mengapa. Saya ada,” ujarnya.

Sumber: Instagram @naimdanielx

Sissy dan Naim membuat persembahan dalam episod terbaharu program realiti nyanyian itu yang disiarkan pada Ahad lalu dengan menyanyikan lagu terkenal dendangan Hael Husaini iaitu Jampi tetapi berkonsepkan keroncong.

Persembahan mereka bagaimanapun tidak berjaya menambat hati juri pada malam tersebut. Sissy dilihat gagal menahan air mata selepas menerima kritikan pedas daripada juri tetap program itu iaitu Mas Idayu.

Pada malam yang sama, bekas peserta Big Stage itu memohon maaf atas persembahannya di Instagram dan berkata dia kecewa dengan dirinya yang telah gagal menyanyi dengan baik sedangkan muzik adalah cinta pertamanya.

Anda boleh tonton video penuh persembahan Naim dan Sissy di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca