Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti satu kluster baharu di sebuah syarikat kejuruteraan yang bertempat di Kuching, Sarawak.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, sebanyak dua kes positif COVID-19 dilaporkan dalam kluster tersebut.

“Kes pertama kluster ini (kes ke-8694), adalah seorang pekerja di syarikat tersebut yang telah mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan pada 9 Julai 2020 apabila beliau mengalami gejala pernafasan.
Beliau didapati positif COVID-19 pada hari yang sama,” kata Dr. Noor Hisham menerusi kenyataan media yang diedarkan pada Ahad.
Susulan itu, beliau mengatakan bahawa siasatan dan aktiviti saringan kontak rapat dijalankan dan setakat ini, seramai 32 kontak rapat beliau telah dikenal pasti dan disaring.
Tambah beliau, daripada 32 kontak rapat tersebut, 16 orang merupakan rakan sekerja manakala 16 orang lagi merupakan ahli keluarga.
Berikut adalah keputusan saringan tersebut:
• 1 kes dikesan positif COVID-19
• 16 kes negatif
• 15 masih lagi menunggu keputusan

Jelas Dr. Noor Hisham, langkah pencegahan seperti proses pembersihan serta nyah kuman telah dijalankan di premis syarikat tersebut dan punca jangkitan kluster ini adalah masih di dalam siasatan.

Sebelum itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan terdapat 14 lagi kes baharu positif yang dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,718 kes.
Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah: