Klopp Tidak Kisah, Janji Menang

Pengendali Liverpool, Jürgen Klopp mengakui bahawa dia langsung tidak kisah mengenai kemenangan dramatik 2-1 Liverpool ke atas Tottenham yang dianggap sebagai kemenangan ‘kotor’ dalam usaha pasukannya kembali ke persada Liga Perdana Inggeris.

Roberto Firmino meletakkan Liverpool di depan selepas menanduk masuk hantaran Andrew Robertson pada minit ke-16. Bersambung babak kedua, perlawanan semakin rancak apabila Lucas Moura berjaya menyamakan kedudukan untuk Tottenham pada minit ke-70.

Kedua-dua pengendali melakukan 3 pertukaran pemain dalam usaha untuk mencari gol kemenangan. Walaupun Liverpool lebih banyak menguasai kawalan bola, namun kedua-dua pasukan hanya mampu melakukan 2 percubaan tepat ke gawang gol masing-masing.

Ketika perlawanan kelihatan akan berakhir dengan keputusan seri, skuad kendalian Klopp memastikan 3 mata berharga menjadi milik mereka selepas gol yang penuh dramatik pada masa kecederaan.

Gol berpunca daripada tandukan Mohamed Salah yang berjaya ditampan oleh penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris sebelum terkena pemain pertahanan Toby Alderweireld dan menggolek masuk ke gawang sendiri.

Jelas sekali bahawa nasib menyebelahi Reds pada perlawanan ini. Klopp bagaimanapun tidak merungut mengenai keputusan ini selepas menyaksikan pasukannya berjaya memintas Manchester City dengan perbezaan 2 mata di depan.

Namun begitu, skuad kendalian Guardiola itu bermain kurang satu perlawanan dan berpeluang untuk kembali ke persada liga sekiranya berjaya menewaskan musuh setempat, Manchester United.

“Pada babak pertama, kami mempunyai banyak peluang dan berjaya menjaringkan gol yang menarik. Pada babak kedua, kami kelihatan tidak bermaya dan tidak mempamerkan permainan yang bermutu,” ujar Klopp.

“Tottenham lebih agresif. Kami gagal menyesuaikan diri. Saya tidak gembira kami melepaskan gol tetapi selepas gol Spurs, kami kembali bermain dengan lebih teratur.”

“Kami boleh bermain lebih baik pada babak pertama kerana ada banyak peluang. Pada babak kedua pula tidak banyak peluang tetapi kami berjaya menjaringkan gol.”

“Saya hanya nampak tandukan itu. Saya tidak tahu macam mana bola itu masuk.”

“Ia sesuatu yang positif. Saya pernah katakan ada 500 cara untuk memenangi perlawanan bola sepak dan hari ini, kami menang dengan cara yang agak kotor. Siapa kisah?”

Artikel Lain Untuk Di Baca