KLIA Alami Gangguan Sistem, 68 Jadual Penerbangan Terjejas

Ekoran gangguan teknikal sistem pelayan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebanyak 68 jadual penerbangan dilaporkan mengalami kelewatan sehingga pukul 10 malam tadi.

Menurut pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), mereka masih berusaha menyelesaikan dan menstabilkan gangguan itu yang berlaku sejak malam kelmarin.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, gangguan sistem ini telah menyebabkan kelewatan penerbangan.”

“Dalam pelan mitigasi ini, kami telah menggunakan semua 38 remote bays (tempat meletak pesawat) di Terminal Utama KLIA untuk menampung pesawat yang tidak dapat meneruskan ke pintu yang dijadualkan berlepas,” kata MAHB dalam satu kenyataan.

Menurut MAHB lagi, pihaknya turut menyediakan 4 buah bas tambahan dan perkhidmatan lain bagi melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas.

“Kami juga telah memperluas masa operasi di semua lapangan terbang kami di seluruh negara malam tadi untuk menampung penerbangan yang berlepas dari KLIA,” ujar MAHB.

Di samping itu, pihak MAHB turut menyediakan tempat parkir kenderaan percuma untuk semua penumpang yang meletak kenderaan mereka di terminal utama KLIA (Blok A, B, C dan D) sehingga jam 6 pagi tadi ekoran kelewatan jadual penerbangan.

Selain itu, penumpang juga digalakkan untuk mendaftar masuk menerusi aplikasi mudah alih atau laman web syarikat penerbangan masing-masing.

Difahamkan, gangguan itu berpunca daripada masalah sistem pelayan KLIA sekali gus menyebabkan beberapa jadual penerbangan mengalami kelewatan.

Pada masa yang sama, gangguan tersebut juga menyebabkan operasi kaunter daftar masuk bagasi sesak memandangkan penumpang beratur panjang kerana operasi terpaksa dikendalikan secara manual.

Papan maklumat penerbangan juga terjejas gara-gara gangguan ini dan ia menyukarkan penumpang untuk mengetahui lebih lanjut butiran penerbangan mereka. Para penumpang terpaksa menyemak sendiri butiran tersebut di kaunter pertanyaan.

Perniagaan lain termasuklah restoran makanan segera McDonald’s turut mengalami masalah yang sama apabila tempahan perlu dilakukan secara manual ekoran gangguan ini.

Artikel Lain Untuk Di Baca