Dalam perjalanan pulang ke rumah dari I Am Lejen Shop sebentar tadi, saya sempat mendengar satu bual agama yang disiarkan di radio IKIM. Suka saya memetik bicara daripada sorang panel dalam segmen tersebut. Apa nama ustaz tu saya tak ingat pula. (Izinkan saya berkongsi di sini ya ustaz?)
1. Syukur dan sabar adalah 2 sayap hidup dalam berusaha.
Yang ada dan dah dapat, syukur.
Yang belum, sabar.
2. Hidup kena ada keberanian untuk berjaya.
Ramai orang berjaya sebab berani; berani buat itu ini. Kejayaan akan datang kemudian.
3. Sentiasa gigih berusaha.
Sebuah kapal selamat apabila berada di pelabuhan; nampak besar dan gagah. Tapi itu bukan sebab kenapa kapal itu dibina. Sebuah kapal lebih bermakna apabila berada di lautan mengharungi lautan badai. Di situ baru datangnya hasil kapal itu. Bandingkan perihal kapal ini dengan kita manusia.
4. Sentiasa bersedia.
Kalau kita nak berjaya atau berada di atas, jadilah umpama pokok yang tinggi – sentiasa sedia ditiup angin. Ada hari tenang, ada hari goyang, namun tetap selalu bersedia. Jangan dan tak boleh takut kena tiup dek angin. Kalau takut, jadilah umpama rumput – duduk diam saja di atas tanah. Tapi dipijak-pijak.
5. Tiada apa yang mustahil. Usaha.
Salesman paling berjaya tahun 1966-1967 dapat jual secara purata 6 buah kereta sehari. Masuk Guiness Book of World Records. Google la untuk fakta lebih lanjut tentang kehebatan mamat ni.
6. Never underestimate our potential.
Diceritakan satu kisah:
Seorang makcik mempunya 2 tempayan; 1 sempurna dan 1 lagi sudah retak. Setiap hari makcik itu bawa air dari sungai ke rumahnya menggunakan 2 tempayan tersebut. Dan setiap hari itu jugalah tempayan sempurna dapat bawa balik lebih banyak air berbanding tempayan yang retak. Obviously.
Suatu petang yang tenang, tika mana sekawan biri-biri sedang on the way pulang ke kandang sambil diperhatikan oleh sang penggembala yang menaiki motor Kawasaki Ninja, tempayan sempurna telah berkata kepada si tempayan retak,
“Yan, awak berhenti je la jadi tempayan. Awak tu dah tua. Jadi la pasu bunga pulak ke. Sudah-sudah la kerja jadi tempayan tu. Tak ada pekdohnye dah. Sikit benor air awak bawak balik ke tuan kita. Menyusah ke dia je aku rasa.”
Tempayan retak berasa tersinggung dengan kata-kata tempayan sempurna itu. Hatinya ibarat disiat-siat, bercerai menjadi debu. Naluri tempayannya bagai dilibas tukul Thor, lalu pecah berderai. Dek kesedihannya yang tak terkata itu, tempayan retak pun berkira-kira untuk berhenti menjadi tempayan dan lantas menyuarakan keinginannya untuk meletakkan jawatan kepada tuannya.
Dipendekkan cerita, malangnya tuannya tak bersetuju. Makcik itu berkata,
“Sedor tak wahai tempayan retak kesayanganku, setiap hari kamulah yang siram bunga-bunga dan tanaman aku sepanjang jalan balik ke rumah. Itulah jasa kamu kepada aku. Kamu je tak nampak. Besar guna dan maknanya kamu kepada aku sebenarnya, Yan.”
Tempayan retak pun menangis tersedu-sedu seperti anak kecil yang kehilangan ibu. Naluri tempayannya kembali bergabung membentuk semangat baru yang berkobar-kobar rohnya. Esok masih ada sinar buat tempayan retak.
Sekian. Semoga perkongsian saya ni dapat menjadi input berguna untuk semua yang membaca.
Photo by Anton Repponen on Unsplash