Pernahkah anda semua dengar tentang kisah ‘Dang Isah Tandang Sari’? Selalunya, ramai yang tidak tahu tentang kisah ini kerana memang tidak dinafikan, ia tidaklah sepopular cerita rakyat Sarawak seperti ‘Puteri Santubong, Puteri Sejinjang’. Sebenarnya, kisah ini sama hebat seperti cerita legenda Mahsuri yang menjadi kebanggaan orang Langkawi.
Kegemilangan kerajaan Saribas dan daerah Tandang Sari yang pernah wujud di Sarawak lebih 300 tahun yang lalu turut diketengahkan dalam kisah ‘Dang Isah Tandang Sari’ ini.
Kisah ini berlaku pada zaman pemerintahan kerajaan Saribas. Ketika itu, ia diterajui oleh seorang pemimpin berjiwa rakyat iaitu Datu Temenggong Kadir yang tinggal di Tandang Sari bersama dengan isterinya, Dayang Hajar.
Walaupun sudah 7 tahun berumah tangga, mereka masih tidak dikurniakan cahaya mata.
Pada suatu hari, aktiviti gotong-royong telah diadakan di muara Batang Saribas bersama-sama dengan penduduk kampung. Ketika itu, Datu Temenggong mengambil keputusan untuk tidur seketika dengan beralaskan sebatang buluh gara-gara terlampau penat.
Sebaik sahaja terjaga daripada tidurnya, buluh yang tadi menjadi tilamnya dikatakan telah bertukar menjadi sebiji telur. Telur itu akhirnya menetaskan seorang bayi perempuan yang kemudiannya diberi nama Dang Isah.
Dang Isah dijaga oleh Datu Temenggong dan isterinya bagai menatang minyak yang penuh. Dang Isah merupakan seorang gadis yang begitu cantik dan mampu membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya jatuh hati. Pada masa yang sama, bahagian rambut Dang Isah telah ditumbuhi 7 warna rambut yang berbeza.
Paras rupanya dan rambutnya yang unik itu membuatkan dia disayangi ramai tetapi hatinya cuma untuk seorang lelaki sahaja iaitu Awang Bunut.
Datu Temenggong sebelum ini pernah bermimpi di mana apabila anaknya itu meningkat dewasa, dia dikehendaki meletakkan hantaran 10 kati emas bagi mana-mana lelaki yang ingin memperisterikan Dang Isah.
Awang Bunut yang berjaya mencuri hati Dang Isah tadi sangat kecewa dengan syarat itu tetapi dia tetap akur dan gigih merantau demi mencari emas sebanyak itu.
Dalam pada Awang Bunut sibuk merantau bagi menghalalkan wanita yang dicintainya itu, seorang nakhoda Bugis bernama Nakhoda Khar telah datang untuk berkahwin dengan Dang Isah.
Mereka akhirnya berkahwin dengan hantaran 10 kati emas. Sebulan selepas bergelar suami isteri, Nakhoda Khar meneruskan aktiviti pelayarannya dan belayar kembali ke Brunei.
Ketika Nakhoda Khar sibuk belayar, Awang Bunut kembali ke Tandang Sari untuk mengahwini gadis pujaannya itu dengan membawa 10 kati emas.
Namun begitu, kepulangan Awang Bunut dengan hati gembira tadi hancur dalam sekelip mata apabila dia mendapat tahu yang Dang Isah telah berkahwin. Ketika itu jugalah, Nakhoda Khar muncul untuk mengambil kerisnya yang tertinggal. Salah faham telah berlaku dan Nakhoda Khar bertindak membunuh Awang Bunut gara-gara terlampau cemburu.
Dang Isah yang menyaksikan kejadian itu cuba membunuh diri dengan menggunakan keris Nakhoda Khar yang menikam Awang Bunut tadi kerana dia sedar bahawa telah banyak nyawa yang terkorban hanya kerana kecantikannya. Namun begitu, cubaan itu gagal kerana senjata tersebut tidak dapat menembusi perutnya.
Dayang Isah kemudiannya mengambil 7 helai rambutnya yang panjang mengurai lalu diikatnya di leher hingga mati. Datu Temenggong yang ketika itu juga berada di tempat kejadian bertindak membunuh Nakhoda Khar.
Kisah ini benar-benar berlaku dan bukanlah rekaan semata-mata. Ia dapat dibuktikan dengan kewujudan makam Dang Isah di Sarikei, Sarawak.