Dalam dunia ini, individu berkelakuan pelik yang tidak terfikir dek akal memang betul-betul wujud. Malah, orang sebegini memang ada di mana-mana sahaja. Mungkin dia merupakan ahli keluarga kita sendiri ataupun teman rapat tapi mereka pandai bersembunyi di sebalik wajah dan perangai yang seolah-olah pijak semut pun tak mati.
Sebelum ini, kami pernah kongsikan banyak kisah mengenai individu sebegini, misalnya kisah pembunuh bersiri seperti Ted Bundy yang menggunakan rupanya untuk ‘mengumpan’ wanita dan Jeffrey Dahmer yang ketagih ‘bermain’ dengan mayat. Mesti ramai yang fikir psychopath ini cuma wujud di luar negara sahaja kerana kita jarang mendengar kisah-kisah sebegini di Malaysia.
Kali ini, kami kongsikan dengan anda semua berkenaan kisah seorang remaja 16 tahun yang juga dianggap sebagai psychopath. Lelaki bernama Rashid ini digelar sedemikian bukanlah kerana dia merupakan seorang pembunuh bersiri, tetapi dia dikatakan ketagih mandi serta minum air bekas air mandi mayat.
Kisah ini dikatakan berlaku sekitar tahun 1969. Rashid dikatakan seorang lelaki yang psiko di mana dia gemar untuk memerhati tubuh badan perempuan. Pada ketika itu, dia terlampau obsesi dengan gurunya sendiri. Setiap kali wanita itu mengajar di hadapan kelas, mata pelajar lain akan fokus dengan apa yang ditulis di papan hitam tetapi tidak bagi Rashid. Mata Rashid pasti akan tertumpu pada sosok tubuh gurunya itu.
Pada suatu hari, guru berkenaan dipercayai meninggal dunia. Rashid ketika itu tidak keruan kerana dia berasa sangat menyesal gara-gara tidak sempat untuk melihat gurunya itu tanpa seurat benang.
Tiba-tiba, dia teringat tentang upacara mandi jenazah guru berkenaan dan dia segera pergi ke kediaman arwah. Tanpa rasa bersalah, dia duduk di bawah rumah arwah untuk mengendap tubuh badan arwah.
Ketika itu jugalah air bekas mandi jenazah itu melimpah dari celah kolong papan rumah berkenaan dan terkena pada Rashid. Sejak dari hari itulah Rashid dikatakan ketagih mandi dan minum air bekas mandi mayat.
Perbuatan Rashid itu akhirnya terbongkar apabila dia berkelakuan aneh di mana tubuhnya sering menggeletar dan menggigil dengan kuat sekali pada waktu malam. Ada yang mengatakan bahawa Rashid bukannya ketagih dengan air tersebut, tetapi dia ketagih dengan jilatan iblis dan syaitan.
Setiap kali berlaku kematian di kampungnya yang terletak di Terengganu itu, Rashid menjadi orang pertama yang hadir. Perkara ini berlanjutan selama setahun lamanya sehingga ia memakan diri Rashid sendiri. Bukan itu sahaja, keluarganya juga dikhabarkan sudah tidak tahan kerana rumah mereka pasti akan diganggu dengan bunyi-bunyi aneh dan menyeramkan setiap kali pada waktu malam.
Tidak lama selepas itu, remaja berkenaan dipercayai jatuh sakit akibat sering ‘dihujani’ dengan bekas air mandi mayat dan kemudiannya meninggal dunia. Selepas kematian Rashid, rohnya dikatakan masing berlegar-legar di kampung itu di mana kelibatnya akan kelihatan di bawah kolong rumah papan setiap kali ada kematian. Dia dikatakan menunggu upacara mandi jenazah.
Kisah Rashid yang ketagih dengan bekas air mandi mayat ini dikatakan benar-benar berlaku dan bukannya rekaan semata-mata. Jika ada pembaca di sini yang berasal dari Terengganu, cuba anda tanya mak atau ayah tentang kisah ini. Apa-apa pun, semoga kisah ini dapat dijadikan iktibar dan janganlah kita menjadi seperti Rashid.