Syaitan bertopengkan manusia, itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan seorang bapa ini. Darah daging yang sepatutnya dibelai dan dijaga bagai menatang minyak yang penuh sebaliknya didera dengan kejam sekali sehingga mati.
Kisah menyayat hati ini berlaku di Kansas, Amerika Syarikat pada tahun 2015. Bapa kepada kanak-kanak malang itu, Michael Jones bagaikan dirasuk syaitan apabila dia bertindak mendera dan membunuh anaknya, Adrian Jones yang baru sahaja berusia 7 tahun. Tidak cukup dengan itu, dia juga menjadikan mayat anaknya itu sebagai hidangan kepada babi peliharaannya.
Sebulan sebelum kejadian tragis itu, Adrian dipercayai dikurung di dalam bilik mandi. Malah, dia juga pernah dipaksa berdiri selama berjam-jam lamanya di dalam kolam dengan paras air di lehernya. Dia juga diikat bagaikan binatang dan dibiarkan kelaparan selain turut dipukul tanpa sebarang belas kasihan.
Adrian juga pernah dipaksa berdiri tegak selepas didera dengan depan dan belakang badannya diletakkan papan pemotong sayur.
Mulut mangsa juga luka dengan teruk sekali kerana dia dipercayai cuba melepaskan diri dengan mengopek pintu bilik mandi menggunakan mulutnya kerana ketika itu, kedua-dua belah tangannya diikat.
Selain itu, kanak-kanak malang itu juga pernah dipaksa berdiri di luar rumah pada waktu malam dalam keadaan cuaca yang begitu sejuk sehingga dia menggigil.
Ibu tiri Adrian, Heather dikatakan kerap menggelarnya sebagai ‘budak itu’ berbanding memanggilnya dengan namanya sendiri. Bapa kandungnya pula dipercayai lebih mengutamakan 5 anak mereka yang lain berbanding Adrian.
Akibat didera dengan kejam sekali setiap hari, Adrian akhirnya meninggal dunia. Bagi melupuskan mayat mangsa, pasangan yang lebih teruk berbanding syaitan itu tergamak memotong mayat kanak-kanak itu dan menghidangkannya kepada babi peliharaan mereka.
Walau bagaimanapun, tindakan tidak berperikemanusiaan pasangan itu akhirnya terbongkar jua. Michael dan Heather mengambil keputusan untuk mengaku bersalah gara-gara tidak mahu memanjangkan tempoh perbicaraan kes itu. Mereka telah dijatuhkan hukuman penjara minimum 25 tahun.
Michael dan bekas isterinya yang merupakan ibu kepada Adrian, Dainna dipercayai berpisah setelah Dainna mendapat tahu tentang hubungan sulit lelaki itu dengan Heather. Perpisahan itu juga telah menyebabkan hak penjagaan anak mereka diberikan kepada lelaki durjana itu.