Pernahkah anda menonton sebuah cerita yang berjudul The Exorcism of Emily Rose? Tahukah anda filem itu mengisahkan kisah benar? Ia berkisarkan mengenai seorang perempuan yang bernama Anneliese Michel yang mati akibat dirasuk.

Anna Elisabeth Michel atau lebih dikenali sebagai Michel dilahirkan di Jerman pada tahun 1952. Seluruh keluarganya mempunyai pengaruh agama Katolik yang sangat kuat. Pada suatu hari, Michel berasa dirinya tidak sihat. Pada mulanya, doktor mengesahkan bahawa Michel hanya mengalami psikosis yang disebabkan oleh epilepsi lobus temporal.

Lama kelamaan, Michel mengadu melihat sesuatu yang kerap mengganggunya. Kemudian, suara-suara jahat daripada makhluk itu menyuruhnya membuat sesuatu perkara dan dia menuruti perintah itu. Akhirnya, Michel mula menunjukkan keengganan terhadap agamanya.

Seorang wanita yang lebih tua iaitu kawan keluarga Michel menyaksikan perkara ini semasa menunaikan ibadat dengan Michel. Dia berkata bahawa Michel seolah-olah mempunyai unsur jahat. Selepas itu, dia membawa Michel untuk berjumpa beberapa orang paderi. Ramai daripada mereka berkata Michel memerlukan doktor. Walau bagaimanapun, salah seorang daripada paderi akhirnya berkata Michel memerlukan penebusan dan penghapusan dosa.

Ibu bapa Michel berhenti mencari nasihat perubatan dan meletakkan nasib Michel kepada ritual Rom. Michel, para paderi dan ibu bapanya benar-benar percaya dia telah dirasuk. Michel sendiri mengatakan bahawa syaitan yang bernama Yudas, Nero, Hitler, Kain, Lucifer dan lain-lain berada di dalamnya. Sepanjang 10 bulan cuba untuk membuang syaitan-syaitan tersebut, Pastor Arnold Renz dan Pastor Ernst Alt melakukan 67 ritual untuk gadis yang diseksa itu.

Ubat-ubatan sememangnya tidak mampu menyelamatkan Michel daripada apa pun yang menyakitinya. Namun begitu, ‘penyakitnya’ itu menjadi lebih buruk ketika dia menyerahkan diri kepada paderi. Dia dikatakan membuang air besar dan membuang air kecil di lantai dengan kerap. Dia juga menjilat air kencingnya sendiri. Dia makan serangga, menyalak kepada benda-benda yang berunsur keagamaan dan duduk di bawah meja dapur selama 2 hari.

Michel akhirnya disahkan meninggal di rumahnya apabila doktor mengesahkan bahawa dia kekurangan air dalam badan dan juga terlampau penat.

Josef Michel, Anna Michel dan kedua-dua paderi akhirnya dituduh menyebabkan kematian itu gara-gara cuai. Semasa perbicaraan itu, pertuduhan dan bahan bukti telah dikemukakan terhadap mereka. 42 daripada pembuangan syaitan telah direkod dalam bentuk video dan terdapat pelbagai gambar Michel yang kelihatan lebam-lebam dan sakit.

Michel kelihatan amat mengerikan dalam pita-pita ini. Tetapi, pihak mahkamah telah mengambil keputusan bahawa pita itu menjelaskan Michel meninggal dunia disebabkan tidak dijaga dengan rapi.

Kisah Michel diinspirasikan menjadi sebuah filem yang menceritakan betapa teruknya Michel dirasuk sehingga dirinya terkorban. Apabila seorang wartawan menanyakan ibunya tentang filem tersebut, dia membantah perbuatan membuat filem itu tanpa kebenarannya dan tidak mahu untuk menonton filem berkenaan.

Penulis

  • Munir Mahdi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda