Search
Close this search box.

Kisah Penerbit Filem ‘Fitna’ Yang Dulunya Fitnah Nabi, Kini Memeluk Islam

Kisah-kisah tentang penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan Islam tidak pernah habis. Tetapi, ada di antara mereka yang pernah berbuat demikian kini telah menjadi saudara baru Islam. Benarlah apa yang diperkatakan, hidayah Allah itu datang dalam pelbagai bentuk. Ada di antaranya yang hadir secara lancar dan tenang malah ada juga yang datang bersama-sama dengan cabaran yang berliku-liku.

Namun begitu, sebarang halangan pasti akan dapat diatasi apabila seseorang itu mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap Yang Maha Esa dan juga diri sendiri. Keyakinan terhadap diri sendiri itu sangat penting kerana apa-apa perubahan pun bermula dengan diri kita sendiri.

Kali ini, kami akan kongsikan kisah penerbit filem dari Belanda, Arnoud Van Doorn yang pernah mencetuskan kontroversi pada tahun 2012 melalui sebuah filem arahannya iaitu Fitna yang merupakan sebuah filem anti-Islam.

Ternyata hidayah itu milik Allah. Siapa sangka, dari sebuah filem sebegitu, Van Doorn akhirnya telah diberi hidayah dan memeluk Islam. Van Doorn mengatakan bahawa dia sangat malu dengan tindakannya yang menerbitkan filem tersebut.

“Saya berharap semoga Allah menerima taubat saya di atas perbuatan saya ini. Saya amat berharap agar tangisan penyesalan saya ini akan dapat membasuh dosa-dosa saya terhadap Islam selama ini. Saya berasa amat malu ketika menziarahi makam Rasulullah.”

Menurut Van Doorn, dia sebenarnya sudah lama melancarkan propaganda anti-Islam. Setelah setahun mengkaji tentang ajaran Islam, barulah hidayah Allah mengetuk pintu hatinya untuk memeluk Islam. Seluruh dunia terkejut dengan pengislaman Van Doorn ini.

Van Doorn mengatakan bahawa dia memilih untuk membuat penyelidikan sendiri kerana terdapat terlalu banyak cerita negatif mengenai Islam. Dia juga mengakui bahawa dia sebelum ini takut untuk pergi ke masjid kerana khuatir dirinya dibunuh.

“Hati saya memilih Islam sebagai cara hidup setelah menerima layanan yang baik daripada para jemaah semasa mengunjungi sebuah masjid di The Hague, Belanda.”

“Ketika berada di Masjid As-Sunnah, masjid terbesar di The Hague saya mendapat layanan yang cukup baik daripada para jemaah dan imam masjid di sana banyak menerangkan tentang Islam.”

Apabila mendapati bahawa Islam itu bukanlah agama yang memihak kepada keganasan, Van Doorn terus menafikan yang Islam itu merupakan agama yang teruk sepertimana diklasifikasikan oleh media Barat sebelum ini.

“Saya benar-benar terkejut kerana orang di masjid itu begitu ramah dengan saya. Imam datang dan berjabat tangan dengan saya sambil mengucapkan selamat datang.”

“Apabila saya melihat ke dalam matanya, saya boleh nampak kejujuran dan keikhlasan dalam diri mereka. Sejujurnya, ia merupakan satu saat yang begitu emosional buat saya pada ketika itu.”

Menurut Van Doorn lagi, hatinya terdetik untuk memeluk Islam setelah melihat betapa gembiranya mereka yang beragama Islam di muka bumi ini.

“Sejak itu, saya mengkaji dan pemikiran saya mula berubah. Tiada lagi Islamofobia sepertimana difikirkan dahulu.” katanya yang memeluk Islam pada 20 Februari 2015 itu.

Apa yang dapat disimpulkan adalah mereka yang bertindak menghina Islam ini sebenarnya tidak memahami betapa indahnya Islam itu. Jadi, kita sebagai seorang Muslim haruslah menunjukkan contoh yang baik kepada mereka yang bukan Islam supaya hati mereka terbuka untuk menerima Islam suatu hari nanti.

Selepas ini, semoga tiada lagi provokasi agama yang berlaku agar keharmonian semua kaum terjamin.

Artikel Lain Untuk Di Baca