Giovanni Maria Versace atau lebih dikenali sebagai Gianni Versace merupakan seorang pereka fesyen Itali. Beliau adalah pengasas kepada jenama terkenal dunia iaitu Versace.
Pada tahun 1997, beliau yang berumur 50 tahun ketika itu sering menghadiri apa-apa acara dan majlis bersama-sama dengan pasangannya iaitu Antonio D’Amico termasuklah pertunjukan koleksi fesyennya di Paris. Beberapa hari selepas itu, mereka telah pulang ke rumah agam mereka yang terletak di Pantai Miami.
Kebiasaannya, pembantunya akan keluar untuk membeli kopi dan akhbar buat Gianni. Namun begitu, pada 15 Julai 1997, rutin hariannya itu diubah sedikit di mana beliau memutuskan untuk keluar berjalan ke kafe berdekatan bagi menikmati udara segar dan cahaya matahari Florida.
Gianni pulang berjalan kaki ke rumahnya semula sebaik sahaja selesai membeli segala keperluannya. Sampai sahaja di hadapan rumah agamnya, seorang lelaki muda telah menghampiri pereka fesyen itu dan sesuatu yang malang telah menimpanya. Lelaki berkenaan bertindak melepaskan dua das tembakan di kepala Gianni.
Ketika kejadian itu berlaku, pasangannya D’Amico sedang berada di dalam rumah. Dia berlari keluar sebaik sahaja mendengar bunyi tembakan tersebut dan mendapati Gianni terbaring berlumuran darah di tangga pintu pagarnya.
Kejadian yang menimpa Gianni itu berjaya dirakam oleh sebuah kamera litar tertutup. Selain itu, terdapat seorang saksi yang telah mengekori suspek sehingga ke sebuah garaj berhampiran. Pihak polis telah berjaya menemui pakaian yang dikenakan suspek semasa kejadian tembakan itu di garaj berkenaan.
Sebuah trak pikap berwarna merah juga turut dijumpai oleh pihak polis. Trak tersebut dilaporkan dicuri dari New Jersey. Polis telah menemui pengenalan diri suspek di dalam trak berkenaan. Dengan penemuan tersebut, nama suspek dapat diketahui. Suspek yang bernama Andrew Cunanan dikhabarkan sengaja meninggalkan identitinya itu kerana mahu menjadi terkenal. Dia dianggap sebagai seorang sociopath yang gilakan perhatian.
Penemuan tersebut juga membawa kepada satu lagi berita yang menggemparkan di mana Cunanan yang berusia 27 tahun ketika itu sebenarnya salah seorang yang berada dalam senarai ‘10 Penjenayah Paling Dikehendaki’ oleh FBI. Ini bermakna, Gianni Versace bukan mangsa pertamanya tetapi mangsa bunuhnya yang kelima.
Cunanan yang merupakan seorang budak lelaki Katolik itu pernah mengaku bahawa dia adalah seorang homoseksual ketika berada di sekolah menengah dahulu. Cunanan dikhabarkan mula mencari sugar daddy setelah tercicir dari kolej. Pada masa yang sama, dia juga dipercayai menjual dadah.
Dua mangsa terawal Cunanan ialah lelaki muda yang mempunyai hubungan intim dengannya. Mangsa ketiganya pula merupakan seorang ejen hartanah yang agak berusia tetapi sangat berada orangnya. Lelaki yang malang itu dipercayai telah diseksa sebelum dibunuh oleh Cunanan.
Mangsa keempatnya pula merupakan seorang penjaga tanah perkuburan Kristian di New Jersey. Lelaki berkenaan dibunuh kerana Cunanan ingin mencuri trak merah Ford miliknya untuk dipandu ke Florida bagi membunuh Gianni Versace. Dia begitu taksub dengan Gianni malah mendakwa mengenali pereka fesyen tersebut. Bukan itu sahaja, dia telah menetap di sebuah motel yang terletak 6km dari rumah agam Gianni selama dua bulan sebelum pembunuhan itu untuk melihat gerak-geri mangsanya itu.
Pihak polis mengambil masa selama 8 hari untuk menemui Cunanan. Namun begitu, Cucunan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa. Selepas menembak Gianni, suspek dikatakan telah bersembunyi di sebuah rumah bot milik seorang ahli perniagaan di pelabuhan kapal.
Menurut seorang penjaga yang memeriksa pelabuhan tersebut, dia terdengar bunyi tembakan di salah sebuah bot dan lantas menghubungi pihak polis. Apabila pasukan SWAT menyerbu bot itu, Cucunan telah pun ditemui mati dengan kesan tembakan pada mukanya. Suspek dipercayai telah membunuh dirinya sendiri.
Kisah pembunuhan Gianni Versace ini telah menjadi inspirasi satu siri televisyen iaitu American Crime Story musim kedua. Walau bagaimanapun, siri televisyen ini hanya dianggap sebagai fiksyen kerana keluarga Versace tidak pernah memberi kebenaran atau terlibat dalam rancangan televisyen tersebut.