Kisah Pembunuh Bersiri, Ted Bundy Yang Menggunakan Rupanya Untuk ‘Mengumpan’ Wanita

Sekitar tahun 1974, bilangan wanita hilang di kolej di seluruh Washington dan Oregon telah meningkat dari masa ke masa. Perkara ini sememangnya menjadikan pihak polis di Pacific Northwest, Amerika Syarikat tidak keruan kerana tiada siapa yang tahu ke mana wanita-wanita ini pergi.

Dikhabarkan 6 orang wanita telah dilaporkan diculik dalam masa 6 bulan manakala terdapat juga beberapa orang wanita lain yang mendakwa mereka pernah diumpan oleh seorang lelaki. Persoalannya, siapakah lelaki itu?

Majoriti mangsa mengatakan bahawa lelaki itu merupakan seorang yang sangat kacak. Pada masa yang sama, jejaka berkenaan juga mempunyai karisma yang tinggi sekali gus membuatkan siapa sahaja yang berhadapan dengannya tergoda.

Satu-satunya petunjuk yang diperoleh menerusi keterangan mangsa-mangsa adalah mereka cuba diumpan lelaki kacak berkenaan yang dikenali sebagai Ted ke arah kereta yang dipandunya iaitu Volkswagen Beetle berwarna coklat.

Pihak polis mengambil langkah untuk mendedahkan petunjuk berkenaan kepada orang ramai dengan harapan bakal mendapat petunjuk yang lain pula. Ternyata, langkah ini membuahkan hasil apabila 4 individu telah menghubungi pihak polis dan mengatakan bahawa mereka mengenali Ted atau nama penuhnya, Ted Bundy.

Salah seorang daripada mereka merupakan bekas teman wanita Ted, manakala 3 orang lagi adalah kawan rapatnya, rakannya dan juga profesor psikologi yang pernah mengajarnya pada suatu ketika dahulu.

Walau bagaimanapun, pihak polis masih ragu-ragu untuk melihat Ted sebagai suspek dalam kes kehilangan wanita tadi. Hal ini demikian kerana Ted bukan sahaja merupakan seorang pelajar jurusan undang-undang, malah dia juga tidak mempunyai apa-apa rekod jenayah.

Keraguan pihak polis ini sekali gus memberi kelebihan kepada Ted Bundy untuk meneruskan ‘kerjayanya’ itu sebagai seorang pembunuh bersiri. Sekitar tahun 1970-an, 30 individu dari 7 buah negeri dipercayai telah menjadi mangsa Ted.

Kehidupan Awal Ted Bundy

Dilahirkan di Vermont, tempat berkenaan terletak kira-kira 4,485 kilometer dari lokasi pembunuhannya yang pertama.

Ted langsung tidak tahu siapa bapa kandungnya manakala ibunya pula dikenali sebagai Eleanor Louise Cowell. Dia dibesarkan oleh datuk dan neneknya sebagai anak mereka sendiri.

Ted juga percaya bahawa ibunya itu merupakan kakak kandungnya. Mereka sering menjadi mangsa datuknya yang kejam. Akibat sering kali dipukul, mereka bertindak melarikan diri ke Washington dan memilih untuk tinggal bersama-sama dengan sepupunya.

Ketika itu, Ted baru sahaja berusia 5 tahun. Mereka memulakan kehidupan baru dan ibunya juga berkahwin dengan seorang tukang masak di sebuah hospital iaitu Johnnie Bundy. Bermula dari situlah Ted dikenali sebagai Ted Bundy.

Ted beranggapan bahawa bapa tirinya itu merupakan seorang yang bodoh dan bergaji rendah. Oleh sebab itu, dia sangat benci akan jejaka berkenaan.

Kehidupan Ted Sewaktu Di Kolej Dan Serangan Pertamanya

Ted mendaftar di University of Puget Sound pada tahun 1965 sebaik sahaja menamatkan zaman persekolahannya. Tidak lama selepas itu, dia berpindah ke University of Washington semata-mata untuk mempelajari bahasa Cina.

Pada tahun 1968, dia memilih untuk berhenti seketika daripada meneruskan pengajiannya. Ketika itu, dia menghabiskan masanya dengan melawati bahagian pantai timur negara berkenaan. Di situlah dia mendapat tahu bahawa wanita yang dia anggap sebagai ibu itu merupakan kakak kandungnya.

Sebaik sahaja kembali ke kolej, dia bertemu dengan seorang gadis bernama Elizabeth Kloepfer yang merupakan seorang setiausaha di kolej perubatan kampus berkenaan. Kedua-duanya dikatakan jatuh cinta antara satu sama lain.

Sekitar tahun 1973, Ted meneruskan pengajian di University of Puget Sound dalam jurusan undang-undang. Namun begitu, dia dipercayai mula ponteng kelas selepas beberapa bulan. Ketika itu jugalah dia mula berjinak-jinak dalam ‘kerjayanya’ itu.

Ted dipercayai telah memecah masuk ke apartmen seorang pelajar dan penari yang berusia 18 tahun iaitu Karen Sparks dan bertindak memukulnya dengan rod besi. Serangannya itu menyebabkan Karen pengsan dan ketika itulah, syaitan mula merasuk diri Ted dan dia telah menggunakan rod besi tadi secara seksual ke atas gadis malang itu.

Insiden berkenaan menyebabkan Karen koma selama 10 hari. Malah, dia juga dipercayai terpaksa menanggung kecacatan kekal.

Pembunuhan Pertama Ted Bundy

Pembunuhan pertama Ted bermula sebulan selepas serangan pertamanya terhadap Karen. Segalanya bermula apabila Ted memecah masuk ke sebuah apartmen yang didiami oleh Lynda Ann Healy, pelajar University of Washington. Dia kemudiannya memukul gadis itu sehingga pengsan sebelum dibawa masuk ke keretanya.

Itulah kali terakhir Linda dilihat di apartmennya. Kematian Linda akhirnya disahkan pihak polis sendiri beberapa tahun kemudian apabila serpihan tengkoraknya berjaya ditemui.

Bermula dari situlah Ted terus mensasarkan pelajar perempuan di kawasan berkenaan sebagai mangsanya.

Kebiasaannya, taktik yang digunakan oleh Ted adalah dengan cara menumpangkan pelajar wanita ataupun meminta bantuan mereka bagi memasukkan sesuatu ke dalam keretanya.

Jika ada yang termakan dengan taktik kotornya itu, mangsa kemudiannya akan dipukul sehingga tidak sedarkan diri. Kemudian, Ted akan mengikat dan seterusnya merogol dan membunuh mereka tanpa belas kasihan.

Mayat mereka yang bernasib malang itu seterusnya akan dibuang ke kawasan terpencil seperti di kawasan hutan. Namun begitu, ia tidak berakhir di situ sahaja.

Pada waktu lapang, Ted akan ‘menziarahi’ tempat-tempat berkenaan dan memuaskan nafsunya dengan melakukan hubungan seks bersama dengan mayat yang sedang mereput.

Kadang-kadang, Ted akan memotong kepala mangsa yang dirasakan dapat memuaskan nafsunya dan menyimpan tengkorak berkenaan di dalam biliknya. Tengkorak-tengkorak inilah yang menemani Ted tidur pada malam hari seakan-akan boneka.

Ted pernah mengatakan bahawa, “Pemilikan muktamad adalah mengambil nyawa orang dan pemilikan fizikal pula adalah saki-baki mayat tersebut”.

5 bulan selepas itu, Ted meneruskan lagi ‘kerjayanya’ dengan menculik dan membunuh 5 lagi pelajar perempuan di Northwest Pacific.

Mereka yang bernasib malang itu dikenali sebagai Donna Gail Manson, Susan Elaine Rancourt, Roberta Kathleen Parks, Brenda Carol Ball dan Georgann Hawkins.

Memandangkan kes kehilangan pelajar perempuan berlaku dengan kerap sekali, pihak polis melakukan siasatan secara besar-besaran. Malah, beberapa agensi kerajaan juga diminta untuk membantu mencari mereka yang hilang.

Penangkapan Ted Bundy

Ketika siasatan dilakukan, semakin ramai saksi muncul dan mereka sepakat mengatakan bahawa Ted merupakan penjenayah yang dicari pihak polis.

Pada masa yang sama, Ted telah berpindah ke Salt Lake City apabila dia diterima masuk ke sebuah sekolah undang-undang di Utah.

Di situ, dia meneruskan ‘hobinya’ iaitu merogol dan membunuh wanita muda. Jumlah mangsanya di Utah dipercayai seramai 4 orang.

Apabila berita kematian 4 wanita muda tadi tersebar, bekas kekasih Ted, Elizabeth Kloepfer terus menghubungi pihak polis buat kali kedua. Dia menegaskan bahawa dia yakin Ted Bundy adalah syaitan yang bertopengkan manusia itu.

Walau bagaimanapun, pihak polis masih lagi tidak menghiraukan apa yang diperkatakan oleh Elizabeth tadi. Namun begitu, nama Ted muncul sebagai salah seorang suspek utama ketika pihak polis mengumpulkan maklumat berkaitan dengan 5 pembunuhan terbaharu di Utah dan Idaho.

Walaupun sedar yang dia akan ‘kantoi’ dalam masa yang terdekat, Ted langsung tidak menghiraukannya. Malah, dia meneruskan ketagihannya itu dengan membunuh 3 lagi wanita.

Pada Ogos 1975, pihak polis melakukan sekatan jalan raya dan ketika itu jugalah, Ted melalui kawasan itu. Polis berjaya menemui topeng, gari serta objek tumpul di dalam kenderaannya. Walau bagaimanapun, penemuan itu tidak cukup untuk dijadikan bukti apatah lagi untuk menangkapnya.

Ted kemudiannya diletakkan di bawah pengawasan pihak polis. Tidak lama selepas itu, kereta Volkswagen Beetle milik Ted itu telah dijual dan pihak polis telah menemui rambut milik mangsa-mangsanya yang terbukti sepadan menerusi ujian DNA.

Berbekalkan bukti ini, nama Ted dimasukkan ke dalam senarai suspek dan dia kemudiannya dikenal pasti oleh salah seorang wanita yang hampir menjadi mangsanya suatu ketika dahulu.

Dengan itu, Ted Bundy disabitkan atas kesalahan menculik dan menyerang. Dia kemudiannya dihantar ke penjara sementara pihak polis mengumpul bukti untuk mendakwanya berkaitan kes bunuh.

Ted Bundy Meloloskan Diri

Penangkapan itu bukan penamat bagi pembunuhan oleh Ted Bundy. Ted dikhabarkan berjaya melarikan diri sebanyak 2 kali. Pada tahun 1977, dia meloloskan diri dari perpustakaan undang-undang di mahkamah di Aspen.

Ketika itu, dia dibenarkan untuk masuk ke situ tanpa digari kerana dia merupakan peguam bagi pihaknya memandangkan dia sendiri merupakan pelajar jurusan undang-undang.

Ted kemudiannya berjaya ditangkap semula 6 hari selepas itu. Jelas sekali, Ted langsung tidak serik kerana dia melarikan diri lagi 6 bulan selepas itu.

Kali ini, dia memilih cara yang agak ekstrem di mana di membuat satu ruang di bahagian siling menggunakan gergaji. Dia kemudiannya meloloskan diri menerusi ruangan berkenaan dan berjaya sampai ke Florida.

Ketika di Florida, Ted meneruskan ‘hobinya’ di mana dia bertindak memecah masuk ke sebuah rumah milik pelajar-pelajar wanita di University of Florida.

Ted dipercayai menyerang mereka secara seksual sebelum membunuh wanita-wanita itu yang dikenali sebagai Margaret Bowman dan Lisa Levy. Pada masa yang sama, dia turut menyerang 2 lagi wanita yang dikenali sebagai Kathy Kleiner dan Karen Chandler. Kedua-duanya dilaporkan mengalami kecederaan teruk.

Kira-kira 3 minggu selepas itu, Ted menculik seorang budak yang baru sahaja berusia 12 tahun, Kimberly Diane Leach lalu membunuhnya.

Ted kemudiannya berjaya ditangkap pihak polis seminggu selepas kejadian itu.

Perbicaraan Ted Bundy

Dalam perbicaraannya, Ted memilih untuk mengabaikan nasihat peguamnya dan orang ramai beranggapan bahawa dia sendiri sengaja mensabotajkan dirinya itu.

Malah, peguamnya sendiri yang pada mulanya mempertahankan Ted akhirnya mengatakan bahawa, “Gambaran saya terhadap Ted adalah dia seorang yang hampir sama dengan syaitan”. Ted disabitkan atas kesemua tuduhan dan turut dikenakan hukuman mati di penjara Florida.

Ketika menghabiskan sisa hidupnya di penjara, Ted didera oleh tahanan lain sepertimana dia mendera mangsa-mangsanya dahulu. Ted turut dirogol oleh 4 orang banduan.

Ketika perbicaraan sedang berlangsung, Ted sempat berkahwin dengan seorang wanita bernama Carole Ann Boone dan dikurniakan seorang anak.

Riwayat syaitan bertopengkan manusia ini akhirnya menemui titik noktah di atas kerusi elektrik pada 24 Januari 1989. Pada hari berkenaan, ratusan orang berkumpul di luar mahkamah untuk meraikan kematiannya itu.

“Untuk segala yang dilakukannya kepada gadis-gadis termasuklah memukul, mencekik, menghina badan mereka, menyeksa mereka, saya rasa kerusi elektrik itu adalah terlalu baik untuknya,” kata Eleanor Rose, ibu kepada salah seorang mangsa Ted Bundy, Denise Naslund.

Kisah Ted Bundy ini turut diinspirasikan menjadi sebuah filem yang ditayangkan di Netflix iaitu Extremely Wicked, Shockingly Evil and Vile. Antara barisan pelakon yang membintangi filem tersebut adalah Zac Efron sebagai Ted dan juga Lily Collins.

Artikel Lain Untuk Di Baca