Jeffrey Dahmer merupakan salah seorang pembunuh bersiri yang paling terkenal di Amerika. Dikenali kerana memakan sebahagian daripada bahagian badan mangsa, dia digelar sebagai pembunuh Kanibal dan Kanibal Milwaukee.
Dahmer merogol, membunuh dan menguraikan tubuh badan 17 lelaki di antara tahun 1978 dan 1991. Kesemua mangsa korbannya adalah lelaki, kebanyakannya muda dan gay serta berbangsa kulit gelap. Ramai mangsanya tidak diketahui atau dilaporkan hilang oleh ahli keluarga mereka malah lebih malang lagi, beberapa orang daripada mereka telah dihalau atau dibuang oleh keluarga mereka sendiri.
Pada mulanya, pegawai polis telah menahan pemuda lelaki bernama Tracy Edwards yang berjalan di jalanan dengan tangan bergari dan apabila disiasat, mereka mendapati salah satu penemuan paling mengerikan dalam sejarah moden di apartmen Jeffrey Dahmer.
Edwards memberitahu polis bahawa Dahmer telah mengurungnya di apartmennya dan mengugut untuk membunuhnya. Walaupun pegawai polis pada mulanya meragui aduan tersebut, mereka membawa Edwards kembali ke apartmen Dahmer.
Dahmer dengan tenang menjelaskan bahawa keseluruhan perkara itu hanyalah salah faham dan pihak polis mempercayainya. Walau bagaimanapun, pegawai polis berkenaan terlihat beberapa keping gambar Polaroid yang merupakan bahagian-bahagian tubuh badan yang dipisah. Maka, Dahmer telah ditangkap dengan serta-merta.
Apabila apartmen Dahmer telah digeledah sepenuhnya, pendedahan ngeri telah terbongkar. Selain album foto yang penuh dengan gambar-gambar bahagian tubuh yang dipisahkan, apartmen itu juga dipenuhi dengan sisa manusia.
Antaranya termasuklah beberapa kepala disimpan di dalam peti sejuk, 2 tengkorak berada di atas komputer dan 57 gelen yang mengandungi beberapa badan manusia yang mereput dalam bentuk bahan kimia di sudut bilik tidurnya. Terdapat juga kesan yang menunjukkan bahawa Dahmer juga telah memakan beberapa mangsanya.
Jiran Dahmer melaporkan kepada pegawai berkenaan bahawa mereka mengesan bau yang busuk dari apartmen tetapi Dahmer cuba menutup jenayahnya itu dengan mengatakan bau itu datang daripada daging yang telah tamat tempoh.
Walau bagaimanapun, persoalanan yang paling misteri ialah bagaimana Dahmer berjaya menyembunyikan jenayah yang mengerikan di tengah-tengah bangunan penempatan di bandar dan akhirnya terbongkar beberapa hari kemudian.
2 bulan sebelum itu, pegawai polis pernah menerima aduan tentang seorang lelaki berusia 14 tahun yang telanjang dan berlumuran darah sedang berlari di lorong kerana dikejar oleh Dahmer.
Pegawai yang bertugas mengembalikan pemuda yang berada dalam pengaruh dadah itu kembali kepada Dahmer kemudian dia dibunuh pada malam itu juga. Para pegawai pada waktu itu melaporkan bahawa mereka menganggap kes itu merupakan pergaduhan kekasih. Pegawai itu kemudiannya dipecat.
Pemeriksaan forensik apartmen itu menemui 11 mangsa yang dilaporkan hilang seawal bulan Mac 1989, hanya 2 bulan sebelum Dahmer berjaya melepaskan diri daripada hukuman penjara kerana mencabul kanak-kanak dengan pengakuan kepada hakim bahawa dia ingin mengubah dirinya menjadi lebih baik. Dahmer kemudian mengaku bersalah ke atas 17 pembunuhan sejak mangsa pertamanya pada tahun 1978.
Juri menolak alasan penyakit mental Dahmer dan dia disabit sebanyak 15 hukuman gantung dan penjara selama 937 tahun. Walau bagaimanapun, riwayatnya tidak tamat di tali gantung tetapi dia telah dibunuh oleh banduan lain pada 28 November 1994.
Jenayah yang mengerikan ini telah menginspirasikan pelbagai buku dan filem termasuk novel grafik “My Friend Dahmer” yang juga diadaptasikan menjadi sebuah filem yang dibintangi oleh Anne Heche dan Disney Ross Lynch.
Penulis
- Sumayyah Sulaiman adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.