Kisah Nheerja Bhanot, Pramugari Cantik Yang Terbunuh Ketika Melindungi Penumpang

Dua hari sebelum ulang tahun yang ke-23, Neerja Bhanot menghadapi situasi yang tidak terjangka olehnya.

Pada 5 September 1986, wanita muda ini menjalankan tugas pertamanya sebagai pramugari senior dalam penerbangan pesawat Pan Am 73 dari India menuju ke Amerika Syarikat.

Ketika mendarat di Bandar Karachi, Pakistan, kapal terbang yang membawa 361 penumpang dan 19 kru tersebut menjadi sasaran pengganas.

Pesawat hampir dirampas jika tidak dengan akal panjang Neerja

Neerja pada awalnya berasa ada sesuatu yang tidak kena. Setelah mendapati beberapa orang militan Abu Nidal memasuki kabin kapal, wanita tersebut terus menyampaikan kod kecemasan melalui interkom kepada kru di kokpit.

Setelah terdengar arahan dari kokpit tersebut, tiga orang di kokpit iaitu juruterbang, pembantu juruterbang dan juruteknik pesawat segera berlari keluar dari kapal terbang tersebut.

Disebabkan tindakan pantas Neerja dan tiga kru tersebut, hajat militan Abu Nidal untuk merampas dan menerbangkan pesawat terbabit ke Israel terbantut. Syukur, pesawat itu kekal di landasan.

Berang kerana misi gagal, salah seorang daripada pengganas tersebut menembak mati seorang warga Amerika Syarikat dan melemparkan mayatnya ke landasan.

Kemudian, para militan itu mengarahkan Neerja untuk mengumpulkan pasport semua penumpang agar mereka dapat mengenal pasti identiti penumpang kewarganegaraan Amerika Syarikat untuk dijadikan tebusan.

Walaupun begitu, tanpa pengetahuan pengganas terbabit Neerja dan pramugari lain menyembunyikan pasport 41 warga Amerika Syarikat yang ada di dalam pesawat berkenaan di bawah kerusi atau membuangnya ke dalam tong sampah.

Salah seorang daripada 365 penumpang yang berada di dalam pesawat ketika kejadian itu berlaku, Sekhar Mitra berkata, “Saya masih tidak percaya dia masih lagi bertekad melakukan hal seberani itu. Jika mereka (militan Abu Nidal) sedar akan perbuatannya itu, dia boleh ditembak begitu sahaja.”

“Pramugari itu masih boleh tersenyum walau sedang berada di dalam situasi yang sangat genting,” kata Mitra yang kagum dengan kredibiliti serta sikap Neerja itu.

Setelah 17 jam ditahan, para pengganas mula meledakkan bom dan memuntahkan peluru.

Neerja bertindak bijak apabila menyelitkan pesanan di antara muka surat majalah dan diagihkan secara diam-diam kepada penumpang yang duduk dekat dengan pintu kecemasan.

Dia kemudian membantu mereka membuka pintu dan mengembangkan gelongsor kecemasan.

Neerja terbunuh

Neerja boleh sahaja menjadi orang yang pertama menyelamatkan diri dan keluar daripada kapal terbang terbabit. Tetapi sebaliknya, wanita itu bertindak berani dengan mengundurkan diri ke belakang dan mengarahkan penumpang keluar dari pesawat terlebih dahulu.

“Neerja adalah orang pertama yang berpeluang menyelamatkan diri keluar dari pesawat. Dia cukup terlatih dan sangat peka terhadap keadaan yang sedang terjadi. Dia berada di hadapan pintu pesawat saat pengganas masuk. Boleh sahaja dia lari seperti mana yang dilakukan kru kokpit sebelum itu. Namun, Neerja tidak melakukan hal sebegitu juga,” kata salah satu penumpang lain yang terselamat, Kishore Murthy.

Akhirnya, Neerja tewas juga apabila tubuhnya yang langsing itu menjadi habuan beberapa butir peluru daripada senjata api milik militan terbabit kerana menjadikan dirinya sebagai perisai untuk melindungi dua kanak-kanak daripada tercedera.

Kanak-kanak yang berusia 7 tahun itu kini sudah dewasa dan menjadi kapten juruterbang di sebuah syarikat penerbangan terkenal.

Kanak-kanak itu tidak mungkin dapat melupakan wanita cantik itu yang murah dengan senyuman, berseragam pramugari dan bertindak lebih berani daripada kru kapal yang lain. Baginya, Neerja Bhanot adalah srikandi yang telah menyelamatkan nyawanya.

Kini, sebuah filem diadaptasi daripada kisah wanita ini telah ditayangkan pada 19 Februari 2016 yang bertajuk ‘Neerja’.

Cukup hanya satu nama sahaja, sudah menceritakan segala kecekalan dan keberanian wanita berusia 23 tahun itu.

 

 

 

 

 

 

Artikel Lain Untuk Di Baca