Kisah Lelaki Malang Yang Dijadikan Pameran Di Zoo

Ota Benga merupakan lelaki yang berasal dari Congo berbangsa Pigmi. Suatu hari, setelah balik dari berburu gajah, Ota dapati isteri dan anak – anaknya mati dibunuh oleh kerajaan Belgium yang melancarkan aktiviti keganasaan terhadap orang asli yang lebih rendah tarafnya pada waktu itu.

Ota kemudian ditangkap dan dipaksa untuk menjadi pekerja buruh di sebuah kampung yang menjalankan aktiviti pertanian. Semasa bekerja di situ, Ota bertemu dengan seorang warga Amerika Syarikat bernama Samuel Verner. Samuel merupakan seorang ahli perniagaan yang ditugaskan untuk mendapatkan bahan pameran bagi acara St. Louis World’s Fair.

Pihak penganjur merancang untuk mengadakan pameran berkisar tentang ‘evolusi budaya’ di mana pengunjung dapat melihat sendiri perbezaan hidup antara masyarakat Amerika Syarikat ketika itu dengan masyarakat primitif yang berada di sekitar dunia.

Melihat rupa Ota yang kerdil dengan ketinggian 4 kaki 11 inci serta giginya yang tajam kerana diasah mengikut tradisi puaknya, Samuel tahu Ota adalah bahan pameran terbaik untuk dibawa pulang. Ota ditukar dengan satu kati garam serta beberapa helai kain menjadi milik penangkapnya lalu Samuel menjadi tuan baru Ota.

Ota bersama beberapa orang lain yang senasib dengannya dibawa ke St.Louis, Missouri pada tahun 1904. Mereka ditempatkan di dalam replika hutan yang dibina seiras dengan tempat asal mereka, dipakaikan pakaian etnik mereka lalu dibiarkan melakukan apa saja yang mereka suka dalam keadaan terkurung.

Pameran tersebut mendapat sambutan hangat dengan pengunjung hadir beramai-ramai untuk menyaksikan sendiri sekumpulan manusia dari dunia lain yang digelarkan ‘manusia kuno’.

Selepas kejayaan pameran tersebut, Ota kemudian ditempatkan di dalam sebuah bilik kaca di American Museum of National History dan diberikan kerja sementara sebagai bahan pameran di situ. Perasaan tertekan yang dialami Ota akibat rutin yang berubah itu mendorongnya untuk bertindak ganas.

Samuel terpaksa memindahkan Ota dari muzium dan akhirnya dijadikan tarikan utama di sebuah zoo yang terletak di Bronx. Ota kemudian ditayang dan dipamerkan dalam sangkar monyet dan dianggap sebagai satu penyelidikan evolusi yang berjaya antara manusia dan keturunan monyet.

Ota sememangnya menarik perhatian banyak pengunjung yang menanyakan sama ada dia monyet atau manusia. Tetapi ramai juga yang membantah pameran tersebut, diketuai oleh seorang paderi bernama James H.Gordon. James akhirnya berjaya mendesak agar Ota dibebaskan dan dia hidup di bawah jagaan James, di sebuah rumah anak yatim kelolaannya.

Hidup Ota mula berubah menjadi baik. Tinggal bersama James yang memang mementingkan kebajikannya, Ota mula belajar di sekolah untuk individu kulit hitam. Selain itu, Ota juga diberikan pekerjaan di sebuah kilang tembakau bagi menyara hidupnya.

Kemudian dia mula merindukan kampung halamannya di Africa. Tapi setelah berlangsungnya Perang Dunia Pertama, tertutup jalan untuknya pulang ke Congo. Ota mula merasa tertekan.

Pada 20 Mac 1916, pada usia 32 tahun, Ota Benga menyalakan api upacara, dan menembak dadanya dengan pistol yang dicuri.

Begitu teruk diskriminasi terhadap golongan berkulit gelap pada zaman itu. Harap-harap di zaman yang serba moden ini tidak ada lagi isu berkaitan warna kulit.

Artikel Lain Untuk Di Baca