Kisah Legenda Urban Thailand: Mae Nak Phra Khanong

Kata orang, cinta itu tiada sempadan walaupun orang yang dikasihi itu telah meninggal dunia. Tetapi bagaimana pula jika si mati tidak mahu melepaskan orang yang masih hidup?

Mae Nak Phra Khanong atau Nang Nak, hantu Phra Khanong ini merupakan cerita hantu paling popular di Thailand.

Phra Khanong ini merupakan nama kawasan di Bangkok, Thailand. Suatu ketika dahulu, tempat ini adalah sebuah pekan kecil di tepi sungai dan dikatakan pernah berlaku suatu peristiwa tragis pada ratusan tahun lalu.

Daerah Phra Khanong, Abad ke-19

Nak, gadis cantik itu gembira berkahwin dengan seorang pemuda bernama Mak. Mereka melayari alam rumah tangga di sebuah rumah kayu tepi sungai. Kehidupan suami isteri itu diserikan lagi dengan khabar kehamilan Nak.

Semasa Perang Siam-Vietnam (1831- 1834), Mak dipanggil untuk pergi berperang dan terpaksa meninggalkan isterinya yang sedang sarat mengandung.

Sewaktu ketiadaan Mak, si isteri melahirkan anak sendirian dan menghadapi komplikasi sebelum Nak terkulai tidak bernyawa di sisi bayi yang baru dilahirkan. Kedua-dua beranak itu ‘pergi’ tanpa sempat menunggu Mak pulang.

Penduduk kampung yang tahu Nak sudah meninggal dunia menjauhi rumah itu kerana mereka mendengar tangisan suara perempuan yang menyeramkan dan kelibat Nak di sepanjang sungai terusan, menunggu suaminya.

Setelah berjuang di medan perang, Mak balik rumah dan berasa bahagia apabila mendapati Nak yang sedang mendukung bayi menyambut kepulangannya.

Lelaki itu tidak tahu apa yang berlaku dan siapa ‘Nak’ di sisinya kini. Mana-mana penduduk kampung yang kepoh dan cuba memberitahu hal sebenar kepada Mak telah dibunuh oleh jelmaan Nak.

Suatu hari, Nak sedang menyediakan hidangan. Tiba-tiba buah limau terjatuh dan bergolek sampai ke pintu. Dalam kekalutan itu, dia memanjangkan tangan untuk mengambilnya tanpa menyedari yang Mak melihat semua itu.

Mak yang baru tersedar isterinya itu hantu mula cari jalan untuk melarikan diri secara senyap-senyap. Pada malam itu, Mak kata dia nak turun bawah sekejap untuk buang air kecil. Kemudian dia lari dalam kegelapan malam.

Menyedari kehilangan suaminya, Nak mula mencarinya. Mak menyorok di belakang sebuah pokok apabila melihatnya lalu sebelum menuju ke sebuah kuil, tempat suci yang tidak akan dijejak oleh hantu mengikut kepercayaan orang Thai.

Dalam kepedihan itu, Nak mula mengganas dan menyerang penduduk Phra Khanong, marah pada mereka kerana kononnya menyebabkan Mak meninggalkannya. Akhirnya hantu Nak ditangkap oleh bomoh, dikurung di dalam balang sebelum dihumban ke dalam sungai.

Kampung tersebut kembali aman untuk beberapa tahun.

Nak kembali

Beberapa tahun kemudian, seseorang telah terpancing dan membuka balang tersebut. Secara tidak langsung telah membebaskan hantu Nak dan ia kembali menghantui penduduk tempatan.

Kali ini seorang sami Buddha pula mengurung hantu tersebut di dalam tulang dahi mayat Nak dan diikat pada getah ikat pinggangnya. Apabila sami tersebut meninggal dunia, artifak berkenaan dipercayai dijaga oleh Keluarga Diraja Thai agar tidak jatuh ke tangan sesiapa lagi.

Tokong Mae Nak

Menurut laman Culture Trip dan Phuket News, terdapat sebuah tokong didirikan untuk Mae Nak di dalam sebuah kuil.

Cerita rakyat dari Thailand ini mempunyai macam-macam versi dan menjadi inspirasi kepada plot filem, buku dan siri drama dengan pelbagai ‘twist’. Salah satunya adalah filem seram-komedi pecah panggung, Pee Mak.

Pee Mak dalam filem di bawah ini memang takut hantu, tetapi dia lebih takut kehilangan Mae Nak.

Artikel Lain Untuk Di Baca