Kisah Lagenda Pulau Babi Besar Dan Misteri Ikan Duyung Di Johor

Ini yang dikatakan tak kenal maka tak cinta. Walaupun nama pulau ini agak unik tetapi ternyata pulau ini menjanjikan anda pemandangan yang cukup indah sekali. Anda tidak perlu bercuti ke luar negara kerana di Malaysia sendiri mempunyai pelbagai pulau yang tersangat indah sehinggakan ia turut terkenal dalam kalangan pelancong dari luar.

Kebanyakan daripada pulau-pulau ini mempunyai kisah unik yang tersendiri serta menjadikannya lebih menarik dan mengujakan. Namun, tidak ramai yang tahu mengenai Pulau Besar di Johor yang mempunyai kisah lagenda menarik. Pulau Besar adalah sebuah pulau yang terletak di Laut Cina Selatan, atau lebih tepat berada dalam daerah Mersing, Johor.

Keunikan Pulau Besar, Mersing.

Kesemua pantai di pulau-pulau ini dikelilingi dengan air yang tersangat jernih. Ia disebabkan oleh gugusan pulau ini menghadap ke laut lepas, di mana ombak-ombak yang datang membersihkan pantai dengan menghilangkan lumpur dari pasir.

Dalam usaha memelihara dan memulihara kehidupan laut di kawasan sekitar, kerajaan Johor telah mewartakan perairan pulau ini sebagai ‘Taman Laut’. Usaha ini dilakukan bertujuan untuk menjaga kira-kira 60 spesis hidupan laut daripada terancam oleh kepupusan.

Perkara ini berlaku disebabkan oleh pelbagai aktiviti manusia yang mampu merosakkan habitat semulajadi seperti selaman skuba, memancing dan macam-macam lagi. Selain itu, keunikan tambahan seperti sayuran liar, ulam-ulaman dan pepohon kelapa serta pelbagai tumbuhan yang terdapat dalam hutan tropikanya memperkayakan khazanah alam di pulau ini.

Di samping itu, terdapat ramai penduduk yang mendiami pulau ini. Ia terdiri daripada kira-kira 7 hingga 8 perkampungan kecil yang menempatkan sekitar 100 orang. Para penduduk tempatan meneruskan kelangsungan hidup di pulau ini sebagai nelayan. Ketinggian 2,000 kaki dari aras laut menjadi puncak tertinggi di Pulau Besar ini.

Kisah lagenda ikan duyung di Pulau Babi Besar.

Pasti anda tertanya-tanya mengapa pulau ini diberi nama Pulau Babi Besar kan? Jika Pulau Langkawi terkenal dengan kisah lagenda Mahsuri, Pulau Besar juga mempunyai kisah lagenda tersendiri yang sangat popular dalam kalangan penduduk tempatan.

Kisah menarik tersebut adalah tentang sepasang nelayan yang dikatakan telah bertukar menjadi ikan duyung. Penduduk tempatan mempercayai bahawa isteri kepada si nelayan tersebut yang sedang sarat hamil mengidamkan rumpai laut untuk dimakan.

Dan seperti yang anda boleh jangkakan, isteri nelayan tersebut telah bertukar menjadi seekor ikan duyung selepas memakan rumpai laut tersebut. Si suami yang melihat kejadian yang menimpa isterinya itu berasa tersangat berang lalu melepaskan kemarahannya dengan memaki hamun ‘babi! babi! babi!’ lalu memanggil pulau tersebut dengan panggilan Pulau Babi.

Sejak itulah, nama Pulau Babi kekal digunakan sehingga sekarang. Kisah ini hanya kisah yang dibawa dari mulut ke mulut penduduk Johor. Kesahihan kisahnya masih diragui tetapi bagi kami ia sesuatu yang sangat menarik untuk dikongsi kepada anda semua.

Artikel Lain Untuk Di Baca