Kisah Korban Cinta Di Sebalik Pembinaan Jambatan Tamparuli

Tahukah anda bahawa pembinaan Jambatan Tamparuli ini ada menyimpan sebuah kisah mitos tentang lara hati dan tragedi yang menelan korban seorang gadis?

Sumber gambar: Wikimedia Commons

Kisahnya diceritakan berlaku semasa zaman kolonial British dahulu.

Sekitar Tahun 1930-an

Robinson, seorang pegawai muda berasal dari Tanah Ratu telah dihantar berkhidmat ke Sabah bagi menguruskan projek pembinaan Jambatan Tamparuli.

Selain tugas, ada hal lain yang turut mengikat hatinya untuk berada di situ.

Hati lelakinya berjaya ditawan oleh seorang sumandak, iaitu gadis Dusun tercantik dan menawan bernama Solungkoi.

Cinta yang bersemi telah mengikat mereka menjadi pasangan kekasih. Perlakuan sweet-sweet pasangan merpati dua sejoli itu ditangkap oleh sepasang mata seseorang.

Orang itu bernama Intang dan dia bekerja di bawah Robinson.

Intang turut ada hati pada Solungkoi. Namun rupa dan pangkat yang lebih berpihak kepada Robinson tidak memungkinkan dia untuk mampu membeli cinta si dara.

Sumber gambar: The Star

Dalam diam, mendidih darah Intang apabila dapat menyingkap bahasa cinta yang ditonjolkan oleh pasangan tersebut. Suatu hari nanti, dia akan meruntuhkan kebahagiaan mereka.

Projek Jambatan Tamparuli bermasalah

Setiap kali berlaku banjir besar, Jambatan Tamparuli selalu rosak. Hal ini merunsingkan Robinson kerana tanpa jambatan itu, bagaimana pihak British dan penduduk tempatan mahu berhubung dengan dunia luar?

Robinson mengarahkan Intang mencari punca dan penyelesaian masalah itu.

Intang yang merasakan ini mesti angkara tombuakar (hantu air) pergi bertemu odu-odu, seorang dukun wanita tua.

Kata odu-odu, kononnya tombuakar marah sebab tempatnya telah diganggu oleh pembinaan jambatan tersebut, dan menyarankan agar satu upacara keramat dijalankan untuk menjamu tombuakar sebagai tanda minta maaf.

Sumber gambar: TheDigitalArtist / Pixabay

Aneh, jambatan masih bermasalah walaupun upacara sudah dilakukan.

Rupa-rupanya, tombuakar menuntut harga yang lebih mahal, iaitu nyawa seorang sumandak rupawan.

Calon terdekat adalah Solungkoi, kerana tiada gadis yang dapat menandingi kejelitaannya.

Dendam Intang

Intang menyambar peluang yang lalu di hadapan matanya itu. Dia yang sudah lama dibakar api cemburu dan dendam menghasut Robinson supaya mengorbankan Solungkoi.

Cadangan itu meletakkan Robinson dalam keadaan dilema dan tersepit. Antara kerjaya dan kekasih, mana satu yang perlu diselamatkannya?

Sumpah Solungkoi

Pada malam itu, penduduk kampung mengadakan pesta minum tapai dan mula mabuk-mabuk.

Solungkoi minum tapai yang diberikan oleh Robinson. Perlahan-lahan wajah kacak Robinson berbalam-balam sebelum pandangannya gelap.

Sebaik terjaga daripada pengsan, Solungkoi mendapati tubuhnya diikat dan tergantung pada tali untuk diturunkan ke bawah cerucuk jambatan. Orang ramai mengelilinginya dan berkumpul di sudut itu seolah-olah mahu menyaksikan satu acara penting.

Ini merupakan acara penyerahan korban. Dan korban pada malam itu adalah dirinya.

Dalam kerumunan itu, matanya tertancap pada susuk tubuh seseorang yang disangka akan terus menyayangi dan melindunginya itu. Naif untuk mengerti hati lelaki yang bermusim.

“Robinson, tolong selamatkan saya!”

Namun Robinson hanya membatu di situ, memalingkan wajahnya ke lain sebelum menekur ke tanah. Enggan mendengar dan menghiraukan teriakan dan rayuan kekasihnya walaupun hatinya ditusuk sayu.

Fahamlah Solungkoi akan makna diam seribu bahasa Robinson itu. Ini mesti ada kaitan dengan upacara supaya pembinaan jambatan itu berjaya.

Dalam sedu-sedan itu, Solungkoi hanya mampu pasrah tunduk pada takdir, menunggu maut menjemputnya. Jiwanya sudah terlebih dahulu mati ditikam dusta dari belakang.

Sampai hati Robinson… Tetapi apakah lelaki itu masih mempunyai hati?

Sebelum jasadnya dibenamkan hidup-hidup di dalam cerucuk jambatan itu, Solungkoi bersumpah yang jambatan itu tidak akan kukuh selagi Robinson tidak mengikutnya!

Menyesal Tak Sudah

Sejak pemergian Solungkoi, Robinson sering kelihatan bermenung di sungai itu. Penyesalan yang menerjang dan setengah mati merindu sekalipun tidak mungkin akan mengembalikan semula gadis itu ke dunia ini.

Robinson terpaksa menelan tawarnya nasi yang sudah menjadi bubur itu.

Nama ‘Solungkoi’ yang sedia terpateri dalam hati turut diukir di atas sebuah plat besi. Yang tersisa hanya rinai tawa merdu gadis itu yang pernah melukis indah hari-harinya di sudut benak. Kini semua itu sudah berlalu.

Wanita yang dicintainya tiada lagi di sisi, projek masih tak berjalan dan derita membelenggu jiwanya. Jadi, apa lagi yang tinggal untuknya di sini?

Di balik riak permukaan air sungai itu, muncul wajah Solungkoi yang mengukir senyuman manis khas buat Robinson dan menggamit dirinya supaya datang ke mari.

Robinson membalas senyuman Solungkoi sebelum terjun ke dalam sungai, membiarkan dirinya ditelan tombuokar untuk bersatu dengan belahan hatinya di persimpangan alam abadi.

Beberapa tahun kemudian

Lebih separuh abad berlalu, jambatan itu masih utuh dan digunakan oleh penduduk kampung.

Sumber gambar: Wikipedia Common

Diceritakan ada penduduk tempatan yang menyelam di sekitar jambatan itu dan jumpa plat besi pada cerucuk yang dipercayai tempat Solungkoi ditanam. Namun lokasi itu dirahsiakan sehingga kini atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun kisah ini terlalu menarik untuk tak diketuk dengan papan kekunci dan hanya tersimpan dalam kotak memori saya. Berdasarkan pembacaan di internet, saya separa fiksyenkan cerita rakyat ini.

Sejauh mana kebenarannya, Tuhan sahaja yang tahu dan tiada apa yang mustahil bagi-Nya.

Sebagai seorang Muslim, apa yang kita boleh yakini adalah setiap kejadian yang berlaku disebabkan oleh aturan dan kehendak-Nya, bukan atas kuasa mana-mana makhluk.

Untuk baca lagi nukilan saya, selamat datang ke zafirahzapri.com.

Sumber gambar utama: Eleatell / 352 images

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca