Kisah Kegilaan Carl Tanzler Untuk Hidup Bersama Mayat Cinta Hatinya

Hampir sedekad lamanya seorang lelaki bernama Carl Tanzler tidur sekatil dengan Elena, kekasihnya yang sudah jadi mayat.

Carl Tanzler dilahirkan pada tahun 1877 dan berasal dari Jerman. Sewaktu Carl berusia 12 tahun, dia mendapat alamat mimpi daripada moyangnya dari kubur bahawa suatu hari nanti dia akan menemui cinta sejati. Bayangan seorang gadis yang sangat cantik, berambut hitam dan bergaun putih turut muncul dalam rasian itu.

Gambar sekadar hiasan. Sumber gambar: Pixabay

Dia tidak pernah melupakan gadis fantasinya meskipun usianya semakin senja, sudah berkahwin dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Pada tahun 1920, dia dan keluarga berhijrah ke Florida, Amerika Syarikat. Carl terus mengabaikan keluarganya selepas ditugaskan ke Hospital Tentera Laut U.S sebagai juruteknik radiologi.

Di situlah dia bertemu dengan seorang gadis berdarah Cuba.

Pertemuan dengan Elena

Namanya Elena De Hoyos, berusia 22 tahun dan merupakan pesakit Tuberkulosis (Tibi). Kecantikan gadis itu masih terserlah di sebalik penderitaannya menahan sakit. Kulitnya cerah dan rambutnya beralun hitam. Sebelum jatuh sakit, dia merupakan seorang penyanyi dan penghibur.

Elena De Hoyos. Sumber gambar: Wikipedia

Saat sepasang mata Carl berlabuh pada Elena, dia dapat mengecam wajah ayu yang sama dengan mimpi zaman kanak-kanaknya dan hatinya terus terpaut. Dia nekad mahu memastikan gadis itu terus bernafas.

Carl berjumpa denga keluarga De Hoyos dan mengaku sebagai doktor (palsu) dengan kelulusan sembilan diploma dari universiti serta menawarkan diri untuk merawat Elena sepenuh masa.

Demi Elena, dia membuat sendiri ubat-ubatan, melanggar protokol hospital dan mencuri peralatan termasuk mesin X-ray untuk memasangnya di rumah keluarga De Hoyos. Selain itu, dia turut memberi hadiah berbentuk barangan perhiasan dan pakaian kepada pesakitnya.

Walaupun berterima kasih, Elena tidak berminat untuk menerima kasih Carl kerana lebih memikirkan soal kesihatan diri. Lagipun, lelaki itu terlalu ‘pakcik’ (tua) untuk Elena.

Carl enggan mengucapkan selamat tinggal

Akhirnya Elena tewas dengan penyakitnya pada bulan Oktober 1931, meninggalkan keluarga tersayang dan Carl yang patah hati.

Tetapi cinta Carl tidak pernah mati. Dia meminta izin daripada keluarga De Hoyos untuk membina sebuah makam serba mahal bagi menyemadikan jasad Elena di situ dan rela hati membayar segala-galanya.

Kakak dan abang ipar Elena melawat makam yang dibina oleh Carl Tanzler. Sumber gambar: Flickr

Keluarga itu memberi kebenaran namun mereka tidak pernah menyangka bahawa Carl menyimpan kunci untuk melakukan projek rahsia di dalam kubur Elena.

Pelik tapi berlaku

Carl memasang telefon sehingga ke dalam makam supaya dia dapat bercakap-cakap dengan mayat Elena. Setiap malam, dia datang melawat kubur itu. Hal ini berlarutan selama dua tahun.

Pada mulanya orang ramai berkata “Aww, romantiknya!”.  Tetapi pada suatu hari, kelibat Carl tidak lagi kelihatan di tanah perkuburan itu selepas dibuang kerja atas sebab yang tidak diketahui.

Tidak ramai tahu tujuan Carl berulang alik ke kubur itu selama dua tahun itu sebenarnya adalah untuk mengawet mayat Elena secara amatur. Kemudian, dia membawa pulang ‘Elena’ ke rumahnya selepas terpengaruh dengan lagu Sepanyol kesukaan mendiang iaitu ‘La Boda Negra’, atau ‘The Black Wedding’.

Lirik lagu tersebut menusuk jiwa Carl dan dirasakan mirip sekali dengan situasinya di mana mengisahkan seorang lelaki kematian tunang menggali kubur dan membawa balik jasad kesayangannya ke rumah.

By a flickering funeral candle light
On his bed that flowers covered
He gently lay the body of his sweetheart
And said his wedding vows to his dead lover

Selama tujuh tahun, Carl hidup bahagia bersama juita hatinya. Hari-hari dia memasak, menyanyi untuk Elena dan belikan pakaian wanita serta minyak wangi. Jiran-jiran pula menyangka dia sedang bercinta dengan mana-mana perempuan.

Dalam tempoh itu juga lelaki tersebut menggosok tubuh mayat itu dengan minyak, rempah ratus, sembur dengan minyak wangi dan memakaikan gaun sutera. Apabila semakin mereput, Carl ‘bina’ semula wajah dan tubuh itu dengan wayar piano, lilin, kaca dan cat.

Malah Carl melakukan kerja-kerja membaik pulih ‘Elena’ ini dalam sebuah makmal rahsia yang dibinanya sendiri daripada sebuah kapal terbang usang.

Pada suatu hari, seorang budak lelaki mengintai tingkap rumah Carl dan kata ternampak lelaki berumur itu sedang menari dengan ‘patung’ bersaiz manusia.

Rahsia terbongkar

Pada bulan Oktober 1940, keluarga Hoyos mahu berkonfrontasi dengan Carl setelah banyak khabar angin bertiup kencang sampai ke rumah mereka.

Kakak Elena pergi ke rumah Carl. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati mayat adiknya memang ada dengan doktor tersebut seperti bisikan orang selama ini. Dengan penuh ketakutan, dia keluar dari rumah itu dan membuat laporan polis.

Mayat Elena ditemui atas katil di rumah Tanzler. Sumber gambar: STSTWW Media

Pihak berkuasa menahan Carl atas kesalahan merompak kubur. Semasa dua orang doktor menjalankan autopsi ke atas jasad Elena, mereka menemui tiub kertas di celah kangkang sebagai vagina palsu.

Bagaimanapun, dakwaan itu tiada bukti kukuh kerana tiada gambar diambil semasa autopsi. Carl pula tidak pernah mengaku menyetubuhinya. Perilaku seksual manusia terhadap mayat ini dipanggil necrophilia.

Di samping itu, Carl turut mengimpikan untuk membaiki kapal terbang bagi membawa Elena naik ke salah satu lapisan atmosfera bagi ‘menghidupkan’ semula mendiang dengan cara membiarkan sinaran dari ruang angkasa menembusi tisu-tisu Elena.

Kapal terbang yang cuba dibaik pulih oleh Carl. Sumber gambar: STSTW Media

Walaupun Carl mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa, pihak perubatan yang memeriksa kesihatan psikiatrinya tetap mengesahkan mentalnya stabil bagi menghadapi perbicaraan.

Pengakhiran cinta mereka

Walau bagaimanapun kesnya tiba-tiba digugurkan semasa awal perbicaraan kerana tempoh preskriptif dalam undang-undang telah luput. Justeru itu, dia tidak dikenakan apa-apa tindakan hukuman.  

Malangnya, mayat Elena masih belum dapat ‘berehat’ dengan damai apabila dipamerkan di muzium untuk tatapan ribuan mata. Akhirnya si mati selamat dikebumikan di kubur tanpa penanda bagi mengelakkan mayatnya dicuri lagi oleh pemuja rahsianya yang ekstrem.

Selamat tinggal, Elena

Carl Tanzler mengambil keputusan untuk singgah sebentar ke tanah perkuburan buat kali terakhir, walaupun jasad Elena tidak lagi disemadikan di situ seperti sebelum ini.

Kubur Elena sebelum dimusnahkan. Sumber gambar: Flickr

Ini bukan saja kali terakhir untuknya, tetapi juga orang lain yang mahu melawat.

Carl meletupkan makam yang terbina untuk Elena dengan dinamit sebelum pergi meninggalkan pekan itu.

Belum habis lagi

Walaupun tubuh Elena sudah selamat ditanam sekali lagi, Carl tetap tidak dapat melepaskan obsesi terhadap wanita itu. Dia juga mengukir sebuah patung sebesar perempuan dewasa dan membuat sebuah topeng plaster berwajah Elena untuk mengabadikan kecantikan gadis itu dalam ingatannya.

Pada tahun 1952, Carl Tanzler ditemui sudah tidak bernyawa dalam dakapan tangan patung Elena.

Carl mengukir patung mirip Elena. Sumber gambar: Jornal i

Sifat cinta dan kasih adalah fitrah manusia namun biarlah berpada. Usah terlalu berlebihan sehingga merosakkan diri dan orang lain. Penulis tertarik dengan perkongsian Ustaz Pahrol Mohamad Juoi:

Diriwayatkan oleh Zaid bin Aslam daripada bapanya bahawa khalifah Umar al-Khattab RA (wafat 23 H) pernah berpesan kepada bapanya dengan berkata;

‘Janganlah kecintaanmu kepada seseorang menjadi bebanan dan kebencianmu pula menjadi kebinasaan.

Aku bertanya: Bagaimana boleh terjadi hal yang demikian?

Beliau menjawab: Apabila kamu mencintai sesuatu maka janganlah kamu menjadi ‘obses’ seperti kanak-kanak yang memperlakukan barang yang dicintainya.

Dan apabila kamu membenci pula maka janganlah sampai kamu mahu orang yang kamu benci itu dihancurkan dan dibinasakan.

[HR Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad dan Abd Razzaq dalam al-Musannaf]

Untuk baca lagi artikel- artikel berkaitan, anda boleh klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca